Jika engkau memandang segalanya dari Allah, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit mu, yang membuatkan keinginan mu terhalang, serta menyusahkan hidup mu, pasti Dia akan damaikan hati mu kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu deritanya hidup mu, retaknya hati mu, tetapi itulah yang Dia mahu kerana Dia tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab dengan-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku penyabar dan bersabar dengan setiap dugaan Mu.... Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu... bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu...amin ya Rabbal-'alamin...
"Erti hidup pada memberi..."

Sunday, February 13, 2011

Abdullah Munsyi




Abdullah Munsyi (1796-1854), penulis Malaysia. Dia digelar "Bapa Kesusasteraan Melayu Moden" berdasarkan hasil karya pentingnya Kisah Pelayaran Abdullah (1849). Nama sebenarnya ialah Abdullah bin Abdul Kadir, berketurunan Arab dan India. Dia lahir di Kampung Pali, Melaka dan mendapat gelaran "munsyi" sewaktu mengajar bahasa Melayu kepada askar-askar Kerajaan Inggeris berbangsa India di Melaka. Selain menjadi guru bahasa , Abdullah juga menjadi guru agama, penterjemah, wartawan, dan jurutulis kepada pemerintah Inggeris. Malah dia pernah diberi kepercayaan untuk memangku tugas Pengetua Anglo-Chinese College apabila pengetua kolej ketika itu pulang ke England. 

Salah satu kegemaran Abdullah Munsyi ialah mengembara. Hasil daripada pengamatan dan pemerhatiannya yang tajam semasa pengembaraannya, dia telah berjaya menghasilkan karya Kisah Pelayaran Abdullah dan Hikayat Abdullah. Dia dibesarkan dalam zaman peralihan dan pertembungan kebudayaan Barat dan kebudayaan Melayu. Dia membandingkan kedua-dua  cara pemikiran itu, iaitu semangat perubahan, kemajuan dan dinamisme Barat dengan kelembapan pemikiran dan cara hidup bangsa Melayu yang statik, dan tidak berupaya membebaskan diri daripada belenggu adat istiadat yang kolot. Pada waktu itu sedang berlaku keruntuhan kuasa politik golongan bangsawan Melayu dan kebangkitan pengaruh asing, terutama Inggeris dan hal ehwal pentadbiran di negeri-negeri Melayu. Peristiwa pergolakan inilah yang dicatatkan dalam kedua-dua karyanya. Malah, Hikayat Abdullah telah menjadi karya sejarah yang penting tentang sejarah sosial dan politik di Singapura dan Melaka. 

Abdullah Munsyi membawa banyak pembaharuan dalam sastera Melayu. Dia menjadi penulis Melayu pertama yang memperkenalkan bentuk autobiografi dalam tulisannya. Selain itu, dia juga membawa pembaharuan dari segi isi dan  bentuk penulisan dengan menggunakan pengalaman dan pemerhatiannya dalam masyarakat dan sekali gus meninggalkan sama sekali kisah dongeng dan mitos seperti mana yang terdapat dalam karya sastera Melayu tradisional lain. Selain itu, dia juga menggunakan sudut pandangan orang pertama iaitu ganti nama 'aku' dalam tulisannya selain penggunaan bahasa pasar dan bahasa Inggeris.

Penghasilan karya tersebut telah benar-benar memperlihatkan jiwa dan pemikirannya yang kritis sebagai pengarang. Ketokohan Abdullah bukan sahaja sebagai pelopor pembaharuan dalam bidang kesusasteraan Melayu terutamanya dari segi minat dan kesungguhannya untuk memperdalami bahasa Melayu, tetapi juga keberaniannya mengkritik raja-raja Melayu, golongan pembesar Melayu dan susunan masyarakat Melayu dalam zamannya serta adat istiadat serta kebiasaan orang Melayu. 

Kesemua ini dilakukannya untuk menyedarkan bangsa Melayu agar mengubah sikap dan cara berfikir supaya menjadi manusia Melayu yang berilmu, sentiasa mengejar kemajuan, moden dan bersifat dinamik. Malah dia sendiri mempelajari pelbagai bahasa dan cabang ilmu seperti bahasa Tamil, Arab, Inggeris, Hindi dan ilmu matematik. Hikayat Abdullah yang siap ditulis pada tahun 1843 dan diterbitkan pada tahun 1849, telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan bahasa lain dan diulang cetak beberapa kali. 

Abdullah Munsyi meninggal dunia di Jeddah pada tahun 1854. 



No comments:

Cari Blog di sini

Anda Mungkin Meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...