Jika engkau memandang segalanya dari Allah, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit mu, yang membuatkan keinginan mu terhalang, serta menyusahkan hidup mu, pasti Dia akan damaikan hati mu kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu deritanya hidup mu, retaknya hati mu, tetapi itulah yang Dia mahu kerana Dia tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab dengan-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku penyabar dan bersabar dengan setiap dugaan Mu.... Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu... bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu...amin ya Rabbal-'alamin...
"Erti hidup pada memberi..."

Monday, June 2, 2014

Israk Dan Mikraj


Beriman dengan kejadian yang penuh mukjizat

Add caption
Peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW memang banyak disebutkan dalam hadis-hadis sahih. Ia juga terdapat dalam hadis-hadis palsu berikutan adanya elemen tokok tambah. 

Begitu pun, hadis-hadis sahih mengenai peristiwa ini boleh didapati dalam Sahih Bukhari atau Muslim. 

Antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitabnya, bab al-Mikraj. Ia telah diceritakan oleh Hadibah bin Khalid daripada Hammam bin Yahya daripada Qatadah daripada Anas bin Malik r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Didatangkan seekor buraq untuk kenderaan ku. Buraq ialah sejenis binatang yang lebih besar daripada keldai tetapi lebih kecil daripada baghal. Ia meletakkan kakinya pada hujung pandangan. 

Aku pun menaikinya. Ia berjalan membawaku sehingga sampai ke Baitul Maqdis, kemudian binatang itu aku ikat pada kalungan yang juga pernah digunakan oleh nabi di dalam Masjidil Aqsa. Di dalam masjid itu, aku solat dua rakaat lalu aku keluar. 

Seterusnya, Jibril datang membawa dua buah bekas (balang) yang satu berisi arak dan yang satu lagi berisi susu. Aku memilih susu. Lalu Jibril a.s berkata: Kamu telah menepati dengan fitrah kejadian manusia. Kemudian aku diangkatkan ke langit dunia. Jibril meminta agar dibukakan pintu. Dikatakan kepada Jibril, Kamu siapa? Dia menjawab, Jibril. Ditanya lagi, Siapakah yang  bersama kamu? Jawabnya, Muhammad. Ditanya lagi, Apakah dia diperintah untuk datang? Dia menjawab, dia telah diperintahkan untuk datang. Lalu dibuka pintu, tiba-tiba yang ada di situ ialah Nabi Adam a.s. Beliau menyambut dengan baik dan mendoakan yang baik-baik untuknya (Aku).

Kemudian dia diangkat ke langit kedua. Jibril minta agar pintu dibukakan. Dikatakan kepada Jibril, Siapakah kamu?' Muhammad ditanya lagi, Adakah dia diperintah untuk datang? Dia menjawab, dia telah diperintah untuk datang. Lalu pintu itu dibukakan. Tiba-tiba yang ada di situ ialah Nabi Yahya a.s dan Nabi Isa a.s. Kedua-duanya menyambutku dengan baik dan mendoakan yang baik untukku.   

Kemudian aku diangkat ke langit ketiga. Jibril minta agar dibukakan. Dikatakan kepada Jibril, siapakah kamu? Dia menjawab, Jibril. Siapakah yang bersama kamu? Dia menjawab, Muhammad. Dia diperintah untuk datang. Lalu pintu dibuka. Tiba-tiba yang ada ialah Nabi Yusuf a.s. Beliau menyambutku dengan baik dan mendoakan kepadaku yang baik-baik. 

Kemudian aku diangkat ke langit keempat. Jibril a.s minta agar pintu dibuka. Dikatakan kepada Jibril, Siapakah kamu? Dia menjawab, Jibril. Siapakah yang bersama kamu? Muhammad, jawabnya. Ditanya lagi, Adakah dia diperintah untuk datang? Dia menjawab, dia telah diperintah untuk datang. Lalu pintu itu dibuka. Tiba-tiba, aku dapati Nabi Idris a.s. Beliau menyambutku dengan baik dan mendoakan kepadaku yang baik-baik. 

Kemudian aku diangkat ke langit kelima. Jibril meminta agar dibukakan. Dikatakan kepada Jibril, Siapakah kamu? Dia menjawab, Jibril. Siapakah yang bersama kamu? Dia menjawab, Muhammad. Ditanya lagi, Adakah dia diperintah untuk datang? Dia menjawab, dia telah diperintah untuk datang. Lalu pintu dibuka. Tiba-tiba, aku mendapati Nabi Harun a.s. beliau menyambutku dengan baik dan mendoakan kepadaku yang baik-baik. 

Kemudian aku diangkat ke langit keenam. Jibril meminta agar dibukakan.Dikatakan kepada Jibril, Siapakah kamu? Dia menjawab, Jibril. Ditanya lagi, Siapakah yang bersama kamu? Dia menjawab, Muhammad. Ditanya lagi, Adakah dia diperintah untuk datang? Dia menjawab, dia telah diperintah untuk datang. Lalu pintu dibuka. Tiba-tiba aku mendapati Nabi Musa a.s. Beliau menyambutku dengan baik dan mendoakan kepadaku yang baik-baik.

Kemudian aku diangkat ke langit ketujuh. Jibril meminta agar dibukakan. Dikatakan kepada Jibril, Siapakah kamu? Dia menjawab, Jibril. Ditanya lagi, Siapa yang bersama kamu? Dia menjawab, Muhammad. Ditanya lagi, adakah dia telah diperintah untuk datang? Dia menjawab, Dia telah diperintah untuk datang. Tiba-tiba aku mendapati Nabi Ibrahim a.s. Beliau menyambutku dengan baik dan mendoakan kepadaku yang baik-baik. 

(Petikan buku Di Sebalik Israk Mikraj oleh Dr. Ahmad Nasir Mohd Yusof)
Bagaimanapun di dalam Shahih Muslim, kisah itu diteruskan dengan Jibril membawa Rasulullah SAW ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan Allah SWT. Lalu Allah SWT memerintahkan kepada Nabi SAW untuk menunaikan solat lima waktu sehari semalam.













No comments:

Cari Blog di sini

Anda Mungkin Meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...