Jika engkau memandang segalanya dari Allah, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit mu, yang membuatkan keinginan mu terhalang, serta menyusahkan hidup mu, pasti Dia akan damaikan hati mu kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu deritanya hidup mu, retaknya hati mu, tetapi itulah yang Dia mahu kerana Dia tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab dengan-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku penyabar dan bersabar dengan setiap dugaan Mu.... Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu... bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu...amin ya Rabbal-'alamin...
"Erti hidup pada memberi..."

Tuesday, April 29, 2014

Lihat diri rasa syukur nikmat ilahi...

Bersyukur kepada Allah SWT ialah tanda pertama hikmah. Sesiapa yang bersyukur kepada Allah SWT bermakna dia bersyukur untuk dirinya. Bermula daripada kelahiran, maka nikmat Allah SWT yang tidak boleh dihitung terus-menerus dianugerahkan kepada manusia dalam segala segi.

Bumi tempat tinggal manusia. Kesihatan, makanan, tempat tinggal, pasangan, udara, matahari, ilmu, bakat, kepakaran, harta, zuriat, haiwan ternakan, emas, perak, ladang dan sebagainya. Bumi yang menjadi tempat tinggal manusia dijadikan Allah SWT sebagai tempat kediaman yang sesuai lagi menenangkan jiwa.

Bulan yang menyinari waktu malam memberi cahaya serta panduan hitungan musim dan kalendar. Graviti yang ditakdirkan ke atas bumi sangat sesuai untuk kehidupan manusia dan makhluk lainnya. Bijiran dan makanan dikeluarkan tumbuhan selepas siraman air hujan yang turun sepanjang tahun.

Perhatikan pula seluruh haiwan, besar atau kecilnya dipermudahkan untuk kegunaan manusia. Ini nikmat kurniaan yang besar kepada manusia. Gajah yang besar tunduk kepada manusia, apatah lagi binatang ternak yang memenuhi padang rumput dengan mudah di kawal manusia.

Nikmat Allah kepada manusia. Kuda ditunggangi untuk perjalanan dan peperangan. Unta menyeberangi padang pasir dengan penuh kesabaran. Anjing mengikut perintah tuannya. Ayam itik menjadi makanan harian manusia. Ini sebahagian nikmat Allah SWT untuk manusia.

Apabila manusia merenungi dirinya pula maka timbul rasa kesyukuran yang sangat tinggi terhadap setiap anggota dan pancaindera kurniaan Ilahi. Merenungi anatomi mata manusia yang begitu kompleks, deria dan fungsi setiap komponen serta saraf yang berkaitan dengan penglihatan, meninggalkan rasa kagum yang tidak berkesudahan ke atas nikmat kurniaan Ilahi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, Kami pasti menambah (nikmat) kepada kamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7).

Huzaifah perisik handal, teguh simpan rahsia.

Jika kamu ingin digolongkan sebagai kaum Muhajirin, kamu memang muhajir (orang yang berhijrah), jika ingin digolongkan kaum Ansar, kamu memang seorang Ansar. Pilihlah  mana yang kamu sukai.
Itulah kalimah diucapkan Rasulullah SAW kepada Huzaifah ibnul Yaman ketika pertama kali bertemu muka dengan Baginda di Makkah. Ini kerana bapanya Al-Yaman berasal dari Makkah, manakala ibunya dari Suku Asyhal di Madinah.

Rasulullah SAW menilai dalam peribadi Huzaifah ibnul Yaman terdapat tiga keistimewaan iaitu beliau seorang yang cerdas, cepat tanggap dan cermat serta teguh memegang rahsia sehingga tiada siapa dapat mengorek keterangan daripadanya.

Kesukaran berdepan muslihat jahat. Kesukaran terbesar dihadapi kaum Muslimin di Madinah ialah kehadiran kaum Yahudi munafik dan sekutunya yang selalu membuat muslihat jahat terhadap Rasulullah SAW. Baginda menaruh kepercayaan kepada Huzaifah dengan memberi nama orang munafik kepadanya.

Itulah rahsia yang tidak pernah bocor kepada sesiapa pun hingga sekarang, baik sahabat atau sesiapa saja. Huzaifah juga pernah dilantik oleh Rasulullah SAW melakukan tugas bahaya sebagai perisik ketika Perang Khandak.

Angin taufan didatangkan Allah SWT yang sangat dahsyat ketika Perang Khandak menjadi ujian untuk kedua-dua pasukan. Oleh itu, pihak yang kalah akan dulu mengeluh, manakala yang mampu menguasai  diri dapat bertahan.

Huzaifah diperintahkan ke khemah musuh untuk mendapatkan maklumat dan dengan kecerdasan, ketangkasan serta disiplin tinggi dimilikinya, tugas itu dilakukan beliau sebaiknya walaupun menyedari bahaya dihadapi.

Berdasarkan risikannya, jelas pihak musuh gagal berdepan dugaan taufan yang mencabar lalu ketua Quraisy, Abu Sufyan memerintahkan tenteranya beredar dari medan perang. Khabar itu diberitakan kepada Rasulullah SAW dan Baginda gembira mendengarnya.

Teguh simpan rahsia. Huzaifah teguh menyimpan rahsia nama orang munafik yang diamanahkan kepadanya oleh Rasulullah SAW. Ketika pemerintahan Umar al-Khattab, jika ada orang Islam meninggal dunia, Umar akan bertanya sama ada Huzaifah turut solat jenazah, Umar akan turut serta. Andai Huzaifah tidak menyertai solat jenazah, Umar juga enggan solat.

Ketika beliau sakit kuat menjelang ajalnya, Huzaifah meminta sahabat tidak menyediakan kain kapan yang mahal dan beliau berdoa: "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau tahu bahawa aku lebih suka fakir daripada kaya, aku lebih suka sederhana daripada mewah dan aku lebih suka mati daripada hidup." Selepas membaca doa itu, rohnya meninggalkan jasad.

* Ringkasan daripada cerita Pahlawan Syurga.

Thursday, April 24, 2014

Peristiwa penting yang berlaku pada 10 Muharram:

1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah SWT.
2. Nabi Idris diangkat oleh Allah SWT ke langit.
3. Nabi Nuh diselamatkan Allah SWT keluar dari bahteranya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah SWT daripada pembakaran Raja Namrud.
5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
7. Allah SWT memulihkan penglihatan Nabi Yaakob yang kabur.
8. Nabi Isa diangkat ke langit.
9. Nabi Ayub dipulihkan Allah SWT daripada penyakit kulitnya.
10. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan nun selepas berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
11. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya daripada tentera Firaun.
12. Allah SWT mengampunkan kesalahan Nabi Daud.
13. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah SWT kerajaan yang besar.
14. Hari pertama Allah SWT menciptakan alam.
15. Hari pertama Allah SWT menurunkan rahmat.
16. Hari pertama Allah SWT menurunkan hujan.
17. Allah SWT menjadikan Arasy.
18. Allah SWT menjadikan Luh Mahfuz.
19. Allah SWT menjadikan alam.
20. Allah SWT menjadikan Malaikat Jibril.



Wednesday, April 23, 2014

Boleh berdusta dalam 3 perkara

DARIPADA Ummi Kulsum binti 'Uqbah bin Abu Mu'ait RA katanya:

"Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda 'bukanlah dianggap pendusta orang yang mendamaikan antara manusia untuk kebaikan atau mengatakan sesuatu yang baik'." (Riwayat Muttafaqun A'laih)

Terdapat tambahan dalam riwayat Muslim, Ummi Kulsum berkata:

"Aku tidak pernah mendengar Rasulullah SAW memberi kelonggaran memperkatakan sesuatu yang dusta, dalam tiga keadaan, peperangan, mendamaikan antara manusia dan bicara suami kepada isterinya begitu juga bicara isteri kepada atau dengan suaminya, seperti katanya tidak ada orang yang lebih aku sayang daripadamu."

Huraiannya:

Islam tidak membenarkan umatnya berdusta kecuali perkara-perkara yang tertentu sahaja untuk maksud kebaikan.
Antara perkara-perkara yang dibolehkan berdusta ialah untuk:

1. Maslahah perang.
2. Mendamaikan antara manusia yang bersengketa dengan menyampaikan kata yang baik daripada satu pihak yang lain walaupun sebenarnya kata-kata itu hanya direka.
3. Menjaga hubungan antara suami isteri.

*Petikan daripada koleksi Senarai Hadis dari JAKIM.




Antara amalan yang digalakkan dibuat:

1. Berdoa selepas azan.
2. Mengaminkan bacaan imam dalam solat.
3. Menunaikan solat Dhuha.
4. Melaksanakan puasa sunat.
5. Bersedekah susu, seutas tali, sebotol air atau benda-benda lain.
6. Memberi minuman kepada binatang.
7. Membaca al-Quran.
8. Membaca tasbih, tahmid, tahlil, istighfar.
9. Menghadiri majlis zikir dan ilmu.
10. Membaca doa.
11. Mendoakan sesama muslim.
12. Menziarahi orang sakit.
13. Mengunjungi saudara sesama Muslim.
14. Mengiringi jenazah.
15. Mendoakan orang yang bersin.
16. Mengucapkan takziah.
17. Memulakan dan menjawab salam.
18. Berjabat tangan.
19. Memberi layanan baik kepada orang lain.
20. Bersikap mudah dalam membayar dan menagih hutang.
21. Membebaskan baki pembayaran hutang.
22. Berterima kasih kepada orang lain.
23. Menyingkirkan kotoran di masjid, waima apa-apa gangguan di atas jalan raya.

Cari Blog di sini

Anda Mungkin Meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...