Jika engkau memandang segalanya dari Allah, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit mu, yang membuatkan keinginan mu terhalang, serta menyusahkan hidup mu, pasti Dia akan damaikan hati mu kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu deritanya hidup mu, retaknya hati mu, tetapi itulah yang Dia mahu kerana Dia tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab dengan-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku penyabar dan bersabar dengan setiap dugaan Mu.... Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu... bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu...amin ya Rabbal-'alamin...
"Erti hidup pada memberi..."

Sunday, December 5, 2010

Khasiat pokok tanjung


Bunga Tanjung


Hari ini saya masukkan entry mengenai FloraFauna, sibuk di SIM bercerita fasal "tanam pokok atau tabur bunga pada kuburan", memang sesuai sangat saya highlight sikit lagi satu pokok yang banyak di tanam di negara kita. Pokok tanjung dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit kulit.



Pokok Bunga Tanjung

Bunga tanjung putih berseri,
Berak bertenggung, kencing berdiri…
Eh… eh… salah… salah…

Bunga tanjung putih berseri,
Kembang jelita harum baunya;
Gagah sungguh pohonmu berdiri,
Tegap rimbun gagah perkasa.


Pokok tanjung berasal dari kepulauan Indo-China dan mempunyai taburan semula jadi di India, Sri Lanka, Myanmar, Thailand dan Malaysia. Nama saintifiknya Mimusops Elengi dan tergolong dalam keluarga sapotaceac, pokok tanjung merupakan tumbuhan liar yang tumbuh di tepi pantai, kawasan berbatu dan dalam hutn. Pokoknya boleh mencapai ketinggian sekitar 3 meter dan boleh menghasilkan batang atau kayu balak sepanjang 15 hingga 20 meter. Pokok tanjung menghasilkan banir yang sangat kecil atau besar sehingga 2 meter tinggi.

Daun pokok tanjung jenis ringkas, susunan bersilang-seli dan bahagian tepi daun beralun-alun dan bengkok ke atas. Daunnya licin dan berkilat. Bunganya pula ada jenis dwijantina. Bunganya berwarna putih dan bercampur kuning. Bunganya ini dihasilkan secara tunggal atau dalam jambak kecil.



Bunga Tanjung yang berjambak

Buahnya jenis beri berbentuk bujur telur. Sebelum matang, buahnya berwarna hijau. Buah ini akan bertukar kepada warna oren dan merah setelah masak. Apabila matang, buahnya rasa manis dan mempunyai kandungan astringen. Astringen bertindak sebagai agen yang mengcutkan tisu dan protein pada kulit dan lendir. Bunga pokok tanjung mengandungi minyak mudah meruap manakala bijinya mengandungi minyak tidak meruap. Kulit pokoknya banyak mengandungi tanin dan sedikit alkaloid. Pokoknya pula mengandungi saponin.



Buah Tanjung



Kuatkan gigi dan gusi


Bahagian kulit batang, daun dan bunga adalah bahagian yang banyak digunakan serta mempunyai khasiat ubatan yang tersendiri. Kulit pokok tanjung dikatakan mempunyai pelbagai kegunaan. Jika direbus, kulit pokok ini boleh digunakan sebagai air pencuci mulut. Ia mampu menguatkan gigi dan gusi serta merawat sakit kerongkong. Bukan itu sahaja, ramuan ini juga boleh digunakan untuk mengatasi masalah nafas berbau.

Jika kulit pokok tanjung dijadikan serbuk pula, ramuan ini boleh digosok atau diurut pada sendi yang sakit akibat reumatisme. Kulit pokok tanjung ini juga boleh dijadikan sebagai ubat pupuk bagi merawat masalah jerawat, gatal-gatal dan pelbagai penyakit kulit. Kulit pokok tanjung yang direbus bersama dengan kulit pokok asam jawa dikatakan boleh digunakan sebagai ubat sapu bagi penyakit kulit. Air rebusan kulit batang pokok juga boleh digunakan untuk mencuci luka.

Air rebusan kulit pokok atau bunga boleh diminum terutamanya untuk merawat demam panas dan cirit-birit. Kulit dan buah pokok tanjung yang belum masak boleh dijadikan losen untuk merawat ulser. Biji pokok tanjung yang telah ditumbuk lumat pula boleh ditelan bersama air untuk merawat cirit-birit.


Redakan sakit kepala
Daun pokok tanjung boleh ditumbuk lumat atau direbus sebelum dijadikan sebagai ubat pupuk untuk merawat sakit kepala. Jika anda mengalami masalah sakit hidung dijangkiti ulser, bolehlah menggunakan daun pokok tanjung yang telah ditumbuk serta dicampur dengan sedikit jintan hitam yang kemudiannya dijadikan ubat pupuk.

Daun pokok tanjung juga boleh dibakar dan asapnya kemudiannya dihidu untuk merawat ulser di hidung, asma dan pelbagai masalah hidung dan mulut. Pucuk daunnya boleh dibuat ulam bagi mengecutkan rahim dan mengetatkan peranakan wanita.

Bukan setakat untuk tujuan perubatan, pokok tanjung juga boleh digunakan untuk tujuan lain. Bunganya boleh direndam dalam minyak kelapa. Ramuan ini boleh dilumurkan ke rambut dan hasilnya mampu mewangikan rambut. Minyak biji pokok tanjung pula dikatakan boleh digunakan untuk memasak atau minyak pelita.


Ringkasan kegunaan :

1. Merawat ruam bernanah – Beberapa kuntum bunga tanjung direbus bersama 2 sudu besar Jintan Hitam. Air rebusan diembun semalaman. Air ditapis dan dimandikan pesakit dengan air tersebut.

2. Merawat sakit gigi dan boleh menghilangkan nafas berbau. Kulit batang pokok direbus bersama air dan dibuat kumur selama empat hari

3. Merawat luka – Air rebusan kulit batang pokok digunakan untuk mencuci luka.

4. Merawat ozena atau rhinitis – Jus daun bunga tanjung dijadikan ubat titis hidung dua kali sehari dan dilakukan sehingga sembuh.

5. Mewangikan rambut – Biasanya bunga tanjung direndam ke dalam minyak kelapa dan dilumur ke rambut.

6. Pucuk daunnya boleh dibuat ulam bagi mengecutkan rahim dan mengetatkan peranakan wanita

Walaupun terdapat pelbagai khasiat ubatan dan kegunaan lain pokok tanjung, namun begitu penggunaannya perlu mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudharatan di kemudian hari.


Sumber : MisteriAlam dan
Bunga Tanjung





10 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sekiranya Anda Ditahan Polis





1. BAGAIMANA MENDEFINASIKAN ISTILAH ‘DITAHAN’? HANYA APABILA …

a. Polis berkata kepada anda, “Anda ditahan”
b. Polis menggari tangan anda
c. Anda dilarang dari meninggalkan sesebuah bilik, kawasan atau sebagainya oleh pihak polis


2. BAGAIMANA SEKIRANYA ANDA DITAHAN OLEH PIHAK POLIS (semasa berjalan, memandu pulang dsb.)

a. Anda mungkin akan disoal. HANYA berikan butir-butiran diri anda seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat. Anda juga mungkin akan diminta menunjukkan kad pengenalan diri anda
b. Anda tidak perlu menjawap lain-lain soalan
c. Biasakan bertanya pengenalan diri polis yang berkenaan. Sentiasa catatkan nama dan nombor kad pengenalan mereka.
d. Catatkan nombor kenderaan ronda mereka


3. JIKA ANDA DITANYA LAIN-LAIN SOALAN

a. Tanya kepada polis berkenaan, “Adakah saya ditahan?”
b. Sekiranya mereka berkata “Ya”, jangan menjawap apa-apa lagi soalan yang diajukan kepada anda. Adalah menjadi hak anda untuk menjawap apabila berada di mahkamah sahaja.
c. Sekiranya mereka berkata “Tidak”, anda boleh beredar pada bila-bila masa sahaja.


4. JIKA ANDA DITAHAN

a. Beritahu orang-orang yang berhampiran dengan anda
b. Sekiranya anda mempunyai telefon bimbit, telefon rakan, keluarga atau peguam anda. Sekiranya anda ditahan di kawasan diantara Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Dataran Merdeka, besar kemungkinan anda akan dibawa ke balai polis Dang Wangi (Stadium) dan balai polis Campbell. Minta kawan anda, keluarga atau peguam anda pergi ke balai polis Dang Wangi dahulu untuk mengesahkan penangkapan anda dan dimana anda berada.
c. Catatkan / ingatkan waktu anda ditahan


5. KETIKA DITAHAN, PIHAK POLIS MESTI MEMBERITAHU ANDA

a. Mengapa anda ditahan


6. SELEPAS DITAHAN

a. Pihak polis hanya boleh menahan anda didalam lokap selama 24 jam sahaja, tidak kira samada pada hari cuti am atau pada hujung minggu. Ini adalah hak PERLEMBAGAAN anda. Selepas tempoh masa 24 jam berakhir, pihak polis mesti membawa anda ke hadapan majistret untuk direman (dimana anda mesti tinggal di lokap polis bagi ‘membantu’ siasatan mereka). Jika tidak, anda akan dilepaskan samada atas jaminan (jamin mulut) atau akan didakwa di mahkamah. Sebaik sahaja didakwa, anda perlukan penjamin dan wang jaminan kecuali ianya bukan dakwaan yang berjamin

b. Anda tidak boleh membawa sebarangan barang-barang ke lokap kecuali pakaian yang sedang anda pakai ketika itu. Apabila pihak polis mengambil barang-barang anda, anda mesti menurunkan tandatangan untuknya. Sekiranya anda mempunyai wang atau kad bank / kredit, pastikan anda mengira duit anda dan pastikan polis tersebut mencatatkan jumlah yang anda ada, dan apa kad bank / kredit yang anda miliki.

c. Anda mungkin diminta memberi kenyataan 113 (kenyataan peringatan). Pegawai polis yang mengambil kenyataan tersebut mestilah membacakan hak-hak anda


7. SOAL SIASAT POLIS

a. Berhati-hatilah semasa menjawap soalan-soalan yang diajukan oleh pihak polis. Ia mungkin dalam bentuk soalan-soalan mesra yang biasa seperti cuaca, keluarga anda dsb. untuk menenangkan anda. fikir berulang kali sebelum menjawap kerana ia boleh digunakan untuk menentang anda semasa dimahkamah nanti. Ingat, kerja polis ialah memastikan mereka mempunyai cukup bukti untuk mendakwa anda, dan bukannya untuk mempunyai perbualan yang mesra.

b. Sekiranya pihak polis meminta anda memberikan kenyataan 113, anda mesti memberikan butir-butiran anda seperti nama anda, nombor kad pengenalan dsb. dan pastikan anda tahu nama pegawai polis tersebut. Jika terdapat lain-lain soalan, kami BETUL-BETUL nasihatkan anda supaya tidak menjawapnya sehingga hari perbicaraan anda dimahkamah, dan ketika bersama-sama dengan peguam anda. Itu adalah hak anda! Apa sahaja yang anda kata, boleh digunakan untuk menentang anda ataupun rakan-rakan anda. Anda boleh menjawap semua soalan-soalan lain tersebut seperti ini:

S: adakah anda berada di Dataran petang tadi?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah
S: bagaimana anda datang ke Dataran petang tadi?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah
S: adakah ibu anda menyediakan bekalan sebelum anda keluar?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah

c. Sekiranya pegawai polis yang mengambil kenyataan anda mengancam anda secara percakapan mahupun kelakuan, anda mestilah berhenti dari memberikan kenyataan anda dengan segera. Bertenang dan beritahunya “Saya tidak boleh meneruskan kenyataan saya kerana awak telah mengancam keselamatan saya. Saya mahu ini dicatatkan kedalam kenyataan saya.” Sekiranya pegawai polis itu tidak mencatatkan bantahan anda tersebut, tunggu sehingga ke akhir kenyataan anda. Tetapi sekiranya pegawai polis tersebut masih terus mengancam anda, tinggalkan bilik tersebut dan beritahu pegawai polis yang lain dan minta ‘perlindungan’ mereka.

d. Apabila anda telah habis menjawap soalan, pegawai polis akan membenarkan anda membaca kenyataan anda tersebut. Dia akan bertanya samada anda mempunyai apa-apa yang ingin ditambah, ditukar atau dipadamkan. Inilah masanya anda membetulkan apa-apa kesilapan atau atau menambah lain-lain komen didalam kenyataan itu. Contohnya, jika anda telah diancam sewaktu soal siasat atau diserang semasa penahanan anda dsb. ini adalah satu lagi peluang untuk anda menyatakannya. Pegawai polis berkenaan mesti menaip semua itu. Anda akan diminta untuk menandatangani kenyataan anda tersebut. Baca semula dengan teliti dan tandatangan sedekat yang boleh dibawah perenggan yang terakhir, supaya tiada siapa yang boleh menokoktambahnya lagi.


8. SEKIRANYA ANDA DIBAWA KE DEPAN MAJISTRET (Untuk Direman)

a. Sekiranya anda tidak mempunyai peguam, anda mesti meminta wakil peguam. Pusat Bantuan Guaman ada menempatkan peguam-peguamnya dimahkamah bagi tujuan ini.

b. Beritahu majistret sekiranya anda ada mempunyai apa-apa rungutan seperti sekiranya anda di pukul, diancam; sekiranya anda sakit, perlukan rawatan perubatan dsb.


9. SEKIRANYA ANDA DIBAWA KE DEPAN MAJISTRET (Untuk Dakwaan)

a. Sekali lagi, anda mesti meminta wakil peguam

b. Pastikan anda mempunyai seseorang untuk menjamin anda keluar. Sekiranya anda tidak dapat menghubungi keluarga atau rakan anda, minta kebenaran dari majistret untuk membantu anda menghubungi keluarga anda. Jika tidak, anda boleh meminta bantuan peguam anda. Keluarga anda akan perlu membawa duit untuk menjamin anda keluar, yang mana mestilah dalam bentuk pembukaan akaun di bank yang terletak paling dekat dengan mahkamah tersebut. Tanya peguam anda atau majistret dimanakah letaknya bank tersebut. Tidak ada bentuk bayaran lain seperti bayaran tunai atau cek yang akan diterima oleh mahkamah.


10. SEKIRANYA ANDA DIPUKUL SEMASA DALAM TAHANAN

a. Selepas anda dibebaskan atas jaminan, pastikan anda pergi ke mana-mana klinik kerajaan atau hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Pastikan anda tahu nama doktor yang bertugas dan nombor rujukan laporan kesihatan anda supaya ia boleh digunakan dimahkamah kemudian.

b. Sekiranya anda masih dalam reman, pastikan anda memberitahu majistret yang berkenaan bahawa anda perlu pergi ke hospital atau ke klinik.






Jutawan Melayu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary



Jutawan Melayu Tan Sri Syed Mokhtar Shah bin Syed Nor Al-Bukhary adalah seorang yang perahsia. Jarang sekali, beliau ingin berkongsi kisah peribadinya dan lebih banyak tersenyum dan memerhati.

Mokhtar merupakan seorang ahli perniagaan dan usahawan Melayu yang terkaya di Malaysia. Menurut majalah Malaysian Business beliau mempunyai harta bernilai RM2.93 billion pada 2005 seterusnya menjadi orang ketujuh terkaya di Malaysia pada 2005.

Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 1951, beliau memulakan perniagaannya sebagai seorang pengusaha daging pada tahun 1970.

Beliau yang juga merupakan pemilik Yayasan al-Bukhary terlibat dalam perniagaan berasaskan perladangan, pembinaan, kejuruteraan, infrastruktur dan pelabuhan.
Usahawan Melayu terkaya berusia 58, juga dipilih sebagai Tokoh Melayu Terbilang 2009 tahun ini dan tersenarai antara 10 lelaki terkaya di Malaysia.

Pemilihannya dibuat berdasarkan pelbagai kejayaan yang ditempa selama 43 tahun di dalam bidang perniagaan selain sumbangan amalnya.

Syed Mokhtar pernah dipilih sebagai Tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1429 Hijrah/2008 Masihi, menjadikan beliau individu Melayu kelima menerima anugerah berkenaan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2005.


JIWA DERMAWAN DIPUPUK IBU AYAH

Sifat dermawan dalam diri Syed Mokhtar dipupuk oleh bapanya, Syed Nor AlBukhary dan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Mohamed Rahmat.

Kisah hidupnya bermula ketika membantu ibu bapanya berniaga lembu sekitar 1960-an sebelum beralih kepada perniagaan perkhidmatan lori pada 1970-an selepas mendapat bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Daripada perniagaan lori, anak muda yang ketika itu masih pada usia awal 20-an mula berniaga beras secara kecil-kecilan. Pendapatan pertama daripada perniagaan diusahakan sendiri yang dibawa balik ke rumah ialah sebanyak RM1,500. Pada 1970-an, jumlah itu agak lumayan dan pastinya hati begitu gembira dengan wang sebanyak itu.

Namun, apabila ibunya memberitahu bahawa setengah daripada pendapatan itu digunakan untuk adik yang lain, sementara setengahnya pula perlu diberi kepada 15 keluarga miskin, Syed Mokhtar tidak membantah.

Masa beliau bawa balik pendapatan pertama, ibunya beritahu RM750 akan digunakan untuk adik dan RM750 lagi kena bagi pada 15 keluarga jiran yang susah, orang tua dan lain-lain. Setengah pendapatan itu diambil ibunya untuk beri orang yang kurang kemampuan.

Dari situlah jiwa dermawan dipupuk ibu bapa. Walaupun dari segi hukum, zakat pendapatan hanya 2.5 peratus, tetapi pendapatan Syed Mokhtar diambil 50 peratus. Selebihnya diberi kepada 15 keluarga dan sehingga kini beliau masih meneruskan amalan jariah membantu 15 keluarga berkenaan.

Kawan beliau, Syed Abdullah yang ditugaskan mengagih wang itu sejak mula pun sudah bercucu. Namun hingga kini beliau masih melaksanakan tanggungjawab itu. Dan lori serta syarikat berasnya masih beroperasi di Kedah.

Ramai yang tidak mengetahui Syed Mokhtar hanya sempat tamatkan pendidikan sehingga Tingkatan Lima, tetapi tidak berpeluang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana tidak mempunyai wang untuk membayar yuran peperiksaan.

Kisah yang dilalui pada zaman sekolah ini mendorong beliau untuk menjayakan Program Tuisyen Albukhary pada 2001. Ketika itu, perniagaan yang dimulakan sejak 30 tahun lalu berbekalkan jerit perih sudah maju dan berkembang pesat dan Yayasan Albukhary sudah ditubuhkan sejak 1996.


YAYASAN ALBUKHARY

Matlamat penubuhan yayasan itu sebagai memenuhi impian orang tua, terutama ibu yang mendidik beliau mencari rezeki bukan saja untuk diri sendiri tapi membangunkan ummah dan membantu golongan miskin.

Walaupun tidak dapat peluang melanjutkan pelajaran, Syed Mokhtar sedar kejayaannya pada hari ini kerana berjaya dalam bidang perniagaan. Atas kesedaran ini, beliau terfikir untuk memberi budak kampung yang miskin dan kurang cerdik mengikuti tuisyen secara percuma.

Guru yang mengajar digajikan satu jam RM40 untuk ajar budak-budak dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan subjek lain yang mereka tidak mahir. Pusat tuisyen sudah berjalan empat tahun dan 22,000 pelajar sudah mendapat manfaat untuk maju dalam pelajaran.

Bukan setakat itu saja, Syed Mokhtar turut menyediakan Biasiswa Albukhary kepada pelajar miskin yang cerdik daripada 47 negara yang umat Islamnya adalah kumpulan minoriti untuk melanjutkan pengajian pada peringkat universiti.

Biasiswa Albukhary, program pendidikan antarabangsa itu sudah berjasa kepada 372 pelajar yang ada antara mereka cemerlang di persada antarabangsa.

Selain bidang pendidikan, Yayasan Albukhary turut mengambil tanggungjawab membina masjid dan memastikan pengurusannya berjalan lancar. Setakat ini, yayasan itu sudah membina 20 masjid di bandar dan luar bandar di seluruh negara.

Ayah kepada empat orang anak ini mengambil inisiatif membaik pulih Masjid Negara yang menjadi satu daripada destinasi pelancongan negara supaya sentiasa terang dan bercahaya seperti cerahnya Muzium Kesenian Islam Malaysia yang didirikan yayasan, bersebelahan Masjid Negara.

Daripada muzium, masjid, perniagaan berkembang dan rezeki Syed Mokhtar bertambah. Berkat dengar nasihat ibu, setengah kena bagi balik, beliau mendapat keinsafan.

Keinsafan itu juga mendorongnya membina Kompleks Albukhary di Kedah yang menempatkan rumah anak yatim, hospital dan pusat dialisis yang semuanya diberi secara percuma kepada golongan kurang berkemampuan supaya mereka dapat hidup selesa.

Syed Mokhtar berkata, semua yang dilakukan datang daripada jiwa dan didikan asal ibu bapa, selain gerak hatinya, ikhlas kerana Allah.

Semua yang dilakukan dengan niat satu tujuan untuk membantu mereka yang memerlukan.

Atas inisiatif beliau juga, beliau memohon kuota haji untuk menghantar kumpulan yang difikirkannya sudah layak, tetapi tidak berkesempatan menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah kerana tidak mempunyai wang seperti imam, bilal dan siak masjid.

Hartawan berusia 58 tahun itu berkata, beliau tidak pernah melihat dirinya seorang yang kaya kerana prinsip beliau ialah manusia ini hamba Allah dan Allah Yang Maha Kaya. Segala usaha, pelbagai dugaan serta cabaran dilalui sejak lebih 40 tahun lalu baginya adalah rezeki Allah. Dan rezeki itu dikongsi bersama 67,700 tenaga kerjanya.

Bagi Syed Mokhtar, jika seseorang itu rajin berusaha, dengan izin Allah mereka akan berjaya. Jadi, jika sesiapa bertanyakan apakah resipi kejayaan, jawapannya ialah menggunakan nikmat Allah untuk faedah orang ramai terutama dalam pencarian ilmu.

Beliau pernah dipetik berkata, "Saya bersyukur saya sudah rasa semua nikmat Allah melainkan mati, belum rasa lagi. Saya sudah dapat lebih, apa lagi yang saya hendak. Jadi, apabila Allah beri, kita perlu gunakan nikmat itu untuk faedah orang ramai.

"Apabila melihat pertubuhan Kristian, Buddha dan wat Siam yang banyak di Kedah, saya terfikir kenapa kita orang Islam tidak boleh berkembang. Alhamdulillah, saya dapat buat semua dan berkembang seperti hari ini, walaupun terpaksa melalui pahit maung," kata Syed Mokhtar.

Kini, Yayasan Albukhary yang diasaskan Syed Mokhtar berjaya memartabatkan Malaysia sebagai negara prihatin yang sentiasa membantu masyarakat dibelenggui kemiskinan, perang saudara dan bencana alam.


ANAK KELAHIRAN DEB

Kejayaan yang dinikmati Syed Mokhtar adalah hasil daripada langkah kerajaan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Kata beliau, DEB telah memberi peluang kepadanya untuk bersaing dengan kaum lain dan seterusnya membuktikan bahawa anak Melayu juga mampu muncul sebagai konglomerat berjaya di pentas antarabangsa.

"Saya adalah anak kelahiran DEB. Melalui bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta UDA saya mengembangkan perniagaan tetapi terpaksa melalui proses pahit maung dahulu.

"Tiada jalan singkat untuk berjaya walaupun dengan bantuan kerajaan. Bumiputera harus mengambil peluang ini dan membuktikan mereka juga mampu berjaya," katanya.

Ketika ditanya sumbangan amalnya selepas mengumpul pelbagai anugerah, Syed Mokhtar berkata, rezeki yang diperolehinya digunakan untuk kebajikan lebih 67,800 kakitangan Kumpulan Albukhary dan selebihnya membantu golongan miskin.

Kesempitan hidup yang terpaksa dilaluinya ketika zaman kanak-kanak menyebabkan beliau kini berusaha membantu golongan yang memerlukan terutama pelajar dan anak-anak yatim.


BINA 7 MASJID BARU DI NEGERI SEMBILAN

Umat Islam di Negeri Sembilan akan memiliki tujuh masjid baru tidak lama lagi hasil sumbangan Yayasan Albukhary, milik ahli perniagaan tersohor ini.

Tujuh masjid itu akan dibina di Rantau; Seremban 2; Kampung Paroi; Kampung Gebok, Mantin; Kampung Melang, Kuala Pilah; Pedas Tengah, Rembau dan Taman Anggerik, Batu Kikir.

Beliau berkata, pembinaan masjid di Rantau berharga kira-kira RM7.9 juta yang boleh menampung 2,500 jemaah akan dibina menerusi derma dan sumbangan Yayasan Albukhary di Taman Ekar.

Masjid Seremban 2 pula berharga kira-kira RM7.5 juta dan mampu menampung 3,000 jemaah akan dibina menerusi peruntukan yang disalurkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).


DARI BIDANG PENGANGKUTAN KE TOKOH KORPORAT

Pada tahun 80-an, Syed Mokhtar telah beralih ke bidang pengangkutan yang telah membawa tuah kepadanya sehingga menjadi seorang antara tokoh korporat bumiputera yang terkaya di Malaysia.

Karier perniagaannya mula dikenali pada awal 90-an di Johor semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar. Beliau yang amat meminati bidang pengurusan dan pembangunan pelabuhan adalah salah seorang manusia yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor menjadi terkenal di mata dunia dalam tempoh yang sebentar.

Tidak lama kemudian, Syed Mokhtar telah mengasaskan Yayasan (Islam) Al-Bukhary yang telah membina dan menguruskan Muzium Kesenian Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur selain banyak menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan terutamanya sekitar Negeri Kedah dan Perak.

Syed Mokhtar juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun.

Di samping itu, beliau mempunyai kepentingan dalam beberapa buah firma terkenal Malaysia seperti Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC), PERNAS, Padiberas Nasional Berhad, Malakoff Berhad, Seaport Terminal Johor Sdn. Bhd., Johor Port Berhad, Impian Teladan Sdn. Bhd., Indra Cita Sdn. Bhd. dan banyak lagi.

MMC telah bergabung dengan Gamuda Berhad dan berjaya mendapatkan projek landasan keretapi berkembar bernilai RM14.5 billion sebelum ia dibekukan oleh kerajaan kerana faktor pemulihan ekonomi. Syed Mokhtar juga dikatakan telah membeli kepentingan majoriti dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.

Nama Tan Sri Syed Mokhtar turut tersenarai dalam senarai '40 Individu Paling Kaya di Malaysia Forbes Asia' bagi tahun ini.

Syed Mokhtar dilaporkan mempunyai kekayaan AS$1.1 bilion (RM3.86 bilion). Meskipun susut dari AS$1.8 bilion (RM6.32 bilion) pada tahun lalu, beliau masih mengekalkan kedudukan di tempat ke-8 dalam senarai '40 Individu Paling Kaya di Malaysia' tahun ini.

Walaupun menjadi hartawan yang disegani, sifat rendah diri yang dimilikki beliau membuatnya tidak pernah lupa dan bersyukur akan nikmat Allah.

Malah, Syed Mokhtar mengingatkan supaya berhati-hati dengan nikmat yang Allah kurniakan.

"Kadang-kadang nikmat yang kita dapat boleh merosakkan kita. Kita kena kawal supaya nikmat tidak merosakkan kita. Yayasan Albukhary menjadi tempat untuk menempatkan lebihan yang boleh merosakkan diri kita," pesan Syed Mokhtar.






Mencegah zina



Pelacuran adalah antara profesion tertua di dunia. Sama ada kita sedari atau tidak, kegiatan pelacuran ini sudah menular di negara kita, selari dengan perkembangan spa eksekutif, pusat pelacuran atau rumah urut yang menyediakan khidmat seks. Tempat ini menjadi kunjungan lelaki bagi melepaskan nafsu mereka dengan bayaran tertentu.

Sejak kebelakangan ini, atas alasan bimbang dicekup pihak berkuasa, lelaki kemaruk seks kini cenderung menjadikan rumah kediaman mereka sebagai pusat operasi melepas nafsu. Golongan ini melanggan pelacur dengan hanya membuat panggilan telefon menyewa 'call girl' yang diiklan sama ada menerusi laman web atau e-mel.

Dengan hanya satu panggilan, pelacur ini akan datang ke rumah pelanggan mereka. Betapa mudahnya maksiat di hadapan kita. Kebimbangan kita ialah jika gejala sosial ini tidak dibendung, ia akan menyebabkan keruntuhan moral kepada generasi kini dan akan datang. Maksiat mudah saja diperoleh dengan hanya melayari internet serta menggunakan e-mel tawaran.

Aktiviti ini sewajarnya dibendung daripada terus berleluasa dan sebagai orang awam yang bencikan maksiat, perbuatan ini harus dicegah. Pencegahan boleh diambil oleh jiran atau rakan serumah yang mengetahui kegiatan yang berlaku di depan mereka. Mereka boleh menghubungi pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Perbuatan ini, selain salah dari segi moral, adat serta budaya timur, ia jelas berlawanan dengan kehendak agama kerana ia mengundang kepada perzinaan. Perzinaan diharamkan agama dan jelas ia banyak mengundang keburukan dari segi nasab serta juga boleh mengundang penyakit kelamin, malah lebih buruk kepada menularnya penyakit Aids.

Selain itu juga, perbuatan perzinaan ini juga salah dari segi undang-undang di negara kita. Bagi mereka yang terbabit dengan aktiviti ini, tidak kira sama ada golongan lelaki yang melanggan serta golongan wanita yang memberikan khidmat seks, perbuatan ini menjadi suatu kesalahan jenayah syariah.

Kesalahan membabitkan kesalahan moral dan individu yang melakukan kesalahan ini boleh didakwa atas tiga kesalahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah. Setiap kesalahan mengikut kepada keadaan sesuatu kes. Mereka yang ditahan boleh didakwa, pertamanya atas kesalahan berkhalwat manakala keduanya, atas kesalahan persediaan melakukan persetubuhan luar nikah dan ketiga, kesalahan persetubuhan luar nikah (haram).

Bagi kesalahan khalwat, merujuk kepada Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, Seksyen 29 (1) (a) dan (b) memperuntukkan bahawa mana-mana orang lelaki atau perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya atau berada bersama dengan seorang atau lebih seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan tidak bermoral adalah melakukan kesalahan di bawah khalwat ini.

Apabila seseorang itu disabitkan atas kesalahan khalwat, hukumannya denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Kesalahan khalwat ini boleh dikenakan terhadap orang yang ditangkap di dalam keadaan mereka ini baru disyaki melakukan sesuatu perbuatan tidak bermoral seperti bercium serta belum sampai ke tahap melakukan persetubuhan atau percubaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Bagi kesalahan keduanya pula apabila seseorang itu ditangkap di dalam keadaan mereka itu melakukan apa-apa perbuatan persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah, walaupun perbuatan itu tidak sampai ke tahap melakukan persetubuhan luar nikah.

Undang-undang memperuntukkan bahawa mereka boleh ditangkap serta didakwa mengikut Seksyen 26 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Jika disabit kesalahannya, individu berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Bagi kesalahan ketiganya pula, apabila seseorang itu ditangkap di dalam keadaan mereka itu melakukan persetubuhan, maka undang-undang memperuntukkan bahawa mereka boleh ditangkap serta didakwa atas kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah (haram).

Contohnya Seksyen 25 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 memperuntukkan bahawa mana-mana lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan persetubuhan luar nikah.

Sekiranya lelaki itu didapati bersalah dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Bagi 'call girl' (pelacur) yang ditangkap pula atas kesalahan ini sekiranya ia beragama Islam maka wanita berkenaan juga mengikut Seksyen 25 (2) Enakmen sama apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Undang-undang syariah negara kita sudah memadai untuk mendakwa individu yang terbabit secara langsung dengan aktiviti yang tidak bermoral ini. Sehinggakan Mahkamah Syariah boleh mengenakan hukuman sebatan terhadap individu terbabit dengan kesalahan persetubuhan haram ini tanpa mengira individu itu lelaki mahupun perempuan, selain hukuman denda serta penjara sebagai pengajaran.

Sewajarnya kita sebagai umat Islam harus sensitif terhadap perkara berkaitan sebarang aktiviti membabitkan perzinaan. Isu seperti ini jelas bahawa mereka ini sengaja membabitkan diri kepada perzinaan.


Sumber: Mohamad Isa Abd Ralip

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)




Sup Tulang Ketuk

Bahannya:

1 kilogram tulang daging (gear box)
600 gram bawang merah
50 gram cili boh
80 gram pes tomato
140 gram tepung jagung
30 gram kicap manis
5 gram garam
Perasa stok ayam atau daging
10 gram serbuk lada hitam
50 gram sos tiram
20 gram bawang goreng
20 gram daun bawang
25 gram gula
1 biji telur
100 gram kubis (dihiris halus)


1 - BAHAN...sediakan bahan untuk menyiapkan sup tulang ketuk.

2. REBUS...tulang daging (gear box) direbus selama tiga jam. Kemudian tumis bawang merah dan masukkan stok ayam atau daging sebelum dicampur tulang daging yang direbus tadi.

3. TUANG...masukkan pes tomato diikuti cili boh ke dalam air rebusan.

4. CAMPUR...masukkan sedikit garam dan gula.

5. TAMBAH...diikuti dengan sos tiram dan kicap manis.

6. PUKUL TELUR...pukul telur hingga sebati, kemudian masukkan ke dalam adunan tulang daging yang dimasak.

7. CAMPUR...campurkan sedikit air ke dalam tepung jagung, kacau adunan hingga sebati dan masukkan adunan tepung jagung itu ke dalam rebusan tulang untuk memekatkan kuah.

8. MENDIDIH...biarkan rebusan tadi mendidih hingga daging empuk dan kuahnya kering sedikit sebelum diangkat.

9. HIASKAN...tabur hirisan kubis, bawang goreng dan daun bawang untuk menambah rasa.

10. SIAP...sup tulang ketuk sedia untuk dinikmati.

Nasi Beriani




BAHAN- BAHAN


•800 gram beras beriani
•100 gram cili merah
•40 gram bawang putih
•60 gram halia
•50 gram serai
•70 gram minyak sapi
•150 gram rempah beriani


CARA MEMBUATNYA:

1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan yang dikisar sehingga naik bau.

2. Masukkan rempah beriani dan kacau sehingga pecah minyak.

3. Masukkan air dan susu cair secukupnya.

4. Masukkan beras yang telah dibersihkan dan kacau hingga sebati. Kecilkan api sehingga nasi masak.



Info:
Rempah beriani dan beras yang digunakan bukan sahaja memberi rasa yang unik malah mampu mengenyangkan walaupun diambil dalam jumlah yang sedikit.

Ayam Percik




BAHAN- BAHAN


•400 gram ayam
•50 gram halia
•50 gram lengkuas
•40 gram serai
•10 gram kunyit hidup
•100 gram bawang merah
•60 gram bawang putih
•5 gram daun kunyit


CARA MEMBUATNYA:

1. Ayam dipotong mengikut cita rasa kemudian perapkan bersama dengan bahan yang dikisar serta dengan daun kunyit selama 45 minit.

2. Bakar ayam dalam ketuhar pada suhu 180 ºC selama 30 minit.

3. Apabila ayam telah masak, biarkan ia sejuk dahulu sebelum dihidangkan bersama dengan nasi yang panas.

Panduan ibu berkerjaya


Wanita yang bekerja merangkap isteri dan ibu sering kali berdepan dilema atau terdetik perasaan bersalah apabila tidak dapat sentiasa bersama anak, terutama jika anak dalam tahap pertumbuhan yang memerlukan perhatian lebih.

Meninggalkan anak hanya bersama dengan pengasuh sememangnya ingin dihindarkan tetapi sering kali wanita berkerjaya tiada pilihan kerana pekerjaan di pejabat pun mendesak untuk segera diselesaikan.

Hakikatnya, kesibukan pekerjaan dan keluarga adalah dua hal sering kali membuat wanita berkerjaya sukar membahagikan waktu. Tuntutan di tempat kerja biasanya menjauhkannya dari rumah dengan tugasan mesti dilaksanakan dan sesuatu yang tidak dapat ditunggu sehingga esok sehingga sukar meluangkan waktu untuk keluarga.

Bagaimanapun, usah berasa terlalu tertekan kerana ibu berkerjaya juga masih ada cara tertentu untuk berdamping dengan permata hatinya.

# Luangkan waktu sebelum anak tidur

Jika anda menganggap keluarga keutamaan dalam hidup, pastikan pulang dari tempat kerja sebelum si kecil tidur. Dengan begitu, walau pun sebentar anda tetap dapat menghabiskan waktu untuk berbincang bersama anak. Periksa lagi kelengkapannya untuk sekolah esok hari, pastikan pekerjaan rumah dan tugas lainnya sudah diselesaikan. Cara begitu, anak anda pun mengerti bahawa meskipun ibunya pergi bekerja, tetapi tidak bererti keperluannya diabaikan.

# Hujung minggu pastikan tanpa pengasuh

Hujung minggu adalah saat yang tepat untuk menyegarkan fikiran dengan berjalan-jalan bersama dengan keluarga. Paling penting sebenarnya adalah perhatian, meskipun hanya beristirahat di rumah, pastikan anda memiliki waktu yang berkualiti berdua dengan anak. Bagi wanita bekerjaya yang jadual kerjanya tidak cuti pada hari hujung minggu, lakukan perkara sama walaupun harinya berbeza.

# Dahulukan keutamaan

Jangan bawa pekerjaan di pejabat ke rumah. Di rumah, anda adalah milik suami dan anak-anak. Saat itu menikmati waktu berharga bersama keluarga tercinta.

# Komunikasi

Meskipun hanya sebentar, komunikasi adalah kunci utama. Sesibuk sekalipun bekerja, jangan lupa menghubungi anak di rumah dan pantau terus setiap kegiatannya. Jangan sampai anda tidak tahu apa saja yang dilakukan di rumah mahupun di tempat kegiatan lain kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan.

# Ambil cuti atau berhenti jika tiada pilihan

Memiliki anak adalah komitmen. Meskipun akan menjadi dilema, usahakan fokus mengambil berat mengenai anak khususnya pada kesihatan anak jika sedang sakit. Seboleh-bolehnya, anda sendiri yang membawa anak berjumpa doktor jika sakit. Berbuat demikian membolehkan anda akan mendapatkan maklumat yang lebih tepat mengenai penyakit yang dihidapi anak dan bukan mendengarnya melalui orang lain. Tindakan yang anda boleh buat ialah mengambil cuti ataupun berhenti sementara jika keadaan terlalu mendesak.




Menangani rasa cemburu





Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’ adalah bidalan Melayu yang membawa pengertian dalam mengharungi hidup berumah tangga, khususnya dalam hubungan antara suami dan isteri, perselisihan adalah satu kemestian.
Perselisihan adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Namun, ia boleh diperbaiki, dengan menggunakan cara yang bijaksana dan bertoleransi.

Banyak sebab yang menjadi punca perselisihan. Antaranya kerana mentua, jiran, teman-teman, anak-anak, malah perkara asas dalam kehidupan juga mampu mencetuskan pergaduhan dalam rumah tangga sehingga lauk yang terlupa dimasukkan garam, atau air kopi yang terlupa ditambah gula.

Paling meruncing ialah apabila masing-masing mula cemburu terhadap satu sama lain, sama ada mereka mempunyai bukti nyata atau hanya berupa prasangka sahaja.
Perkara sedemikian jika dibiarkan berterusan akan melarat sehingga tercipta penceraian dalam rumahtangga.

Ada di kalangan masyarakat yang menganggap perselisihan rumah tangga sebagai garam di dalam lauk. Tanpa perselisihan, rumah tangga hambar dan tawar, umpama lauk tidak bergaram.
Namun, garam itu hendaklah diletak secara berpada-pada supaya tidak terlalu banyak sehingga boleh merosakkan lauk sebelanga.

Perkara inilah yang harus diperhatikan oleh setiap insan yang bertekad mahu mendirikan rumah tangga. Ia juga perlu menjadi renungan pasangan suami dan isteri yang menerajui bahtera hidup berumah tangga.

Sesungguhnya, perkahwinan adalah satu cabaran yang harus dihadapi oleh setiap kaum lelaki. Dalam perkahwinan, suami akan berkongsi hidup dengan isteri.
Biarpun seburuk mana isteri namun seharusnya terimalah seadanya seperti yang terungkap semasa akad.

Kata pujangga, perempuan bagaikan angin, lembutnya melenakan, ributnya pula mampu menggusarkan.

Adakalanya mereka seperti ibu menyaji kasih, menghidang sayang malah adakalanya mereka seperti anak yang ingin dibelai, minta dimanjakan seperti anak kecil namun adakalanya mereka seperti nenek yang sering berleter seadanya, merungut semahunya.
Namun, bahagia dan derita hanya kita yang mencorakkan sendiri
Mendirikan sebuah rumah tangga biarpun untuk ke sekian kali namun memerlukan kematangan dan kedewasaan fikiran dan perasaan.

Kematangan bererti kemampuan seseorang menahan marah dalam suasana krisis dan perselisihan serta dapat menyelesaikan masalah tanpa menggunakan kekerasan dan menjauhi segala cara yang boleh membawa kepada keruntuhan perkahwinan itu.
Sebagai bukti kepada kematangannya, seseorang itu sanggup mengaku salah apabila benar-benar bersalah dan tidak cuba menyalahkan orang lain apabila berpeluang berbuat demikian.

Bagi Islam, rumah tangga perlu ditegakkan atas asas cinta dan kasih sayang.
Perkara ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan di antara keterangannya juga, bahawa ia menjadikan isteri bagimu yang sebangsa dengan kamu, supaya kamu boleh diam bersama-sama dengan dia, serta berkasih sayang dan cinta menyintai.” (Surah Ar Rum, ayat 21).

Cinta dan kasih sayang yang dimaksudkan bukanlah hasil daripada cinta pandang pertama tetapi ia lahir daripada rasa tanggungjawab mengikut amanah dan kepercayaan, serta tidak dipengaruhi oleh kehendak kebendaan atau nafsu.
Rasa cinta sebegini boleh membawa suami sentiasa bersikap matang dan sihat dalam segala layanannya terhadap isteri dan di kala menghadapi krisis rumah tangga yang tidak dapat dielakkan.

Suasana rumah tangga akan menjadi lebih mesra dan ceria apabila suami mengenali diri isterinya sebagai manusia yang mudah tersinggung dan mudah terasa.
Suami jangan sekali-kali cuai dan lupa memberi penghargaan kepada peranan isteri sebagai suri rumah tangga yang benar-benar bertanggungjawab.

Sebenarnya, tidak susah bagi suami membisikkan kata-kata pujian ke telinga isterinya setiap kali menikmati masakan atau melihatnya berpakaian baru. Berilah hadiah, walaupun kecil, sebagai tanda penghargaan suami terhadap isteri apabila menyambut hari jadinya.
Termasuk dalam penghargaan juga ialah memberi sangkaan baik terhadap tingkah laku isteri, tidak memperlihatkan apa-apa kecurigaan terhadap kejujuran dan keikhlasan isteri, tidak cuba mengintip gerak- gerinya kerana didorong rasa cemburu yang melulu.
Sesungguhnya, rumah tangga yang bahagia dapat diwujudkan hasil kerja keras, saling mengerti, tolong menolong dan persefahaman antara suami dan isteri.

Dalam mengemudi bahtera sebuah rumah tangga, suami berperanan sebagai nakhoda kapal yang bertanggungjawab mengendali dan menjaga keselamatan seisi anak kapal.
Manakala isteri pula berperanan sebagai jurumudi yang mengawal haluan bahtera. Paduan erat antara keduanya mampu menyelamatkan bahtera dan seluruh isinya daripada tenggelam dilanda badai dan gelora.


Sumber: Taman2 syurga

Perkara wanita tidak tahu mengenai lelaki

Semua mengetahui bahawa wanita dan lelaki itu amat berbeza daripada segala segi. Cuma, ada segelintir masyarakat khususnya wanita sengaja memandang sepi perbezaan yang nyata disedari mereka. Mungkin, golongan seperti ini perlu meneliti buku, For Women Only : What You Need to Khow About the Inner Lives of Men hasil tulisan Shaunti Feldhahn.

Menariknya, buku ini menceritakan tentang kebenaran yang mengejutkan berkaitan lelaki hasil temubual penulis bersama lebih seribu kaum Adam.

1. Lelaki lebih suka rasa dirinya tidak disayangi daripada berasa serba kekurangan dan tidak dihormati.
Para suami perlu tahu bahawa isteri mereka sebenarnya amat menghormati mereka tidak kira secara peribadi atau di khalayak ramai.

2. Lelaki akan bangga apabila mengetahui isteri mereka mempercayai dan mengagumi mereka.
Kajian yang dilakukan Shaunti Feldhahn mendapati lelaki lebih suka melihat hilangnya perasaan sayang di hati isteri mereka daripada tidak dihormati oleh isteri masing-masing.

3. Kemarahan yang diluahkan lelaki dikatakan satu tindak balas yang sering dilakukan golongan itu apabila mereka berasa diri tidak dihormati oleh si isteri.
Apabila suami marahkan isterinya, dia mungkin tidak akan berkata, ‘Awak langsung tidak menghormati saya’. Tetapi, besar kemungkinan dia berasa terluka dengan salah satu perbuatan isterinya yang dianggap tidak menghormati dirinya sebagai suami dan itu merupakan satu penghinaan.

4. Lelaki mempunyai perasaan tidak yakin pada dirinya sendiri.
Mereka selalu berasa takut kemungkinan dilukai dalam hidup – tidak hanya berkaitan kerja, tetapi juga di rumah iaitu dalam memainkan peranannya sebagai seorang suami. Mungkin, mereka tidak menyuarakannya, tetapi hakikatnya mereka memang mudah dilukai.
Penawarnya? Tentulah pengakuan. Bagi lelaki, pengakuan daripada si isteri adalah segala-galanya. Pengakuan yang tulen daripada si isteri (bukan pujian) membuatkan lelaki rasa lebih yakin dan terjamin dalam menjalani kehidupan harian mereka.

5. Lelaki sebenarnya rasa terbeban dengan statusnya sebagai pencari nafkah untuk keluarga.
Secara umumnya, tidak penting berapa gaji yang diperoleh si lelaki, ataupun isterinya memperoleh gaji yang lebih besar mahupun sedikit. Apa yang pasti, lelaki akan memikul bebanan untuk menyara keluarganya walaupun ia bukan pilihan hatinya.
Lelaki akan terikat dengan bebanan itu. Hakikatnya, perkara tersebut tidak akan lari meninggalkan fikiran lelaki dan keadaan itu akan memberi kesan pada perasaannya yang rasa seolah-olah terkurung.
Bagaimanapun, isteri memang tidak boleh membebaskan suami daripada bebanan itu, cuma mereka boleh membantu meringankan bebanan melalui kata-kata penghargaan, galakan dan sokongan.




6. Lelaki mahu lebih seks.
Ramai mungkin beranggapan lelaki mahukan lebih hubungan seks dengan isterinya disebabkan keadaan fizikal mereka (keperluannya) . Tetapi, apa yang mengejutkan, kajian yang dilakukan Shaunti Feldhahn menunjukkan bahawa alasan lelaki mahukan lebih seks kerana ingin rasa dihormati oleh isteri mereka. Lelaki cuma suka andai diri mereka diperlukan. Biasanya, memenuhi keinginan seks lebih menjurus kepada nafsu dan perasaan ingin disayangi oleh si lelaki.
Seks bukan hanya hubungan kelamin antara suami dan isteri tetapi lebih daripada itu. Apabila suami merasakan si isteri mengingini mereka secara seksual, ia amat memberi kesan pada keseluruhan kehidupan mereka. Ia membuatkan mereka lebih yakin dan bahagia. Namun, di sebaliknya wujud pula kesan negatif.
Apabila suami berasa dirinya ditolak, dia berpendapat isterinya bukan sahaja menolaknya daripada segi fizikal, tetapi menidakkan peranannya sebagi suami dan juga lelaki. Sebab itu, melakukan hubungan seks adalah satu keutamaan dalam perkahwinan dan ia juga sangat penting.

7. Lelaki bergelut dengan godaan mata.
Maknanya, majoriti besar kaum lelaki akan bertindak balas terhadap imej yang dilihat terutama berkaitan wanita. Dan, lelaki berkenaan bukan hanya mereka yang sememangnya bermata liar. Lelaki yang baik juga tidak terkecuali daripada memandang wanita yang memakai pakaian yang seksi dan menarik. Biarpun, pandangan itu hanya sekilas, imej tersebut akan tersimpan dalam fikiran lelaki dan ia akan kembali terbayang pada bila-bila masa.

8. Golongan Adam memang suka berasmara.
Namun, mereka sebenarnya ragu-ragu sama ada cara mereka itu romantik atau tidak. Hakikatnya, ramai lelaki sebenarnya tidak romantik, tetapi ia tidak bermakna mereka ingin berkeadaan begitu. Lelaki hendak juga menjadi romantik, tetapi mereka sangsi dengan keupayaan sendiri untuk melakukannya. Mereka sering dihantui perasaan ragu-ragu, berkemungkinan diri berhadapan dengan risiko yang memalukan dan kegagalan.
Bagaimanapun, isteri boleh membantu meningkatkan keyakinan suami untuk menjadi seorang yang romantik melalui galakan dan mentafsirkan semula hubungan asmara mereka.

9. Kaum lelaki amat mengambil berat tentang penampilan isterinya.
Kenyataan itu tidak bermakna semua suami ingin isteri mereka kelihatan seperti supermodel. Apa yang sebenarnya diingini lelaki hanyalah agar si isteri berusaha menjaga penampilan diri kerana ia amat bermakna buat mereka (suami). Malah, suami amat menghargai usaha si isteri yang cuba mengekalkan daya tarikan mereka.

10. Lelaki yang bergelar suami sememangnya mahu isterinya mengetahui bahawa dia amat sayangkan mereka.
Itu adalah maklum balas pertama yang diperoleh daripada lelaki yang ditemui penulis. Cuma, lelaki tidak yakin dengan keupayaan mereka untuk meluahkan perkara tersebut biarpun sebenarnya mereka amat mencintai isteri mereka. Lelaki memang ingin memberitahu atau memperlihatkan betapa sayang dan cintanya mereka kepada isteri masing-masing, tetapi mungkin anda perlu menunggu lama sedikit untuk melihat mereka melakukannya.





Ikan Terubuk Kukus




BAHAN-BAHAN :


1 ekor ikan terubuk masin - dipotong 3 hingga 4 bahagian
2 batang serai - dihiris
Sedikit halia - dihiris
Sedikit lengkuas - dihiris
Serbuk perasa
Garam


CARA MEMBUATNYA:

1. Letakkan kesemua bahan yang telah dihiris bersama ikan terubuk.

2. Masukkan garam dan serbuk perasa.

3. Kukus sehingga masak.

4. Sedia untuk dihidangkan.





Rendang Tok




Bahan-bahan :


1 kg daging
100 gram bawang merah
80 gram bawang putih
80 gram halia - dimayang
½ biji isi kelapa - dihiris 5 sm
60 ml pati santan
300 gram kerisik kelapa
5 gram gula melaka
Garam secukup rasa
15 gram serbuk ketumbar
15 gram serbuk cili
10 gram jintan putih
10 gram jintan manis
20 gram serbuk kari daging
5 gram lada hitam
10 biji buah pelaga
5 sm kulit kayu manis
5 kuntum bunga cengkih


Cara membuat:

1) Gaul rata semua bahan kecuali daging, garam dan gula Melaka.

2) Selepas rata barulah dimasukkan daging. Perap selama dua hingga empat jam.

3) Masukkan ke dalam periuk dan didihkan perlahan-lahan.

4) Reneh selama tiga jam. Kacau dengan kerap sehingga daging menjadi empuk, berwarna agak hitam dan kering.

5) Masukkan gula melaka dan garam. Kacau lagi hingga rata.



Nasi Goreng Belacan Ala Thai




Bahan-bahan :


1 cawan nasi putih
2 sudu makan udang kering
1 biji bawang besar
4 tangkai cili padi
Sedikit mangga muda} dipotong kecil
1 sudu kecil belacan
1 sudu kecil udang kering
2 biji telur ayam
Minyak untuk menumis


Cara membuat:

1. Panaskan minyak di dalam kuali lalu masukkan telur, belacan, udang kering, cili padi dan tumiskan seketika.

2. Kemudian masukkan nasi putih, gula dan garam. Kacau hingga rata dan angkat. Masukkan nasi goreng ke dalam pinggan besar. Hidangkan bersama bahan yang dihiris.

• Lebih enak dihidangkan bersama telur dadar yang telah dihancurkan, udang kering goreng dan ayam masak kicap.



Asam Pedas Melaka




Bahan:


Segenggam cili kering
2.5 sentimeter belacan
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
Seketul kunyit hidup
Seketul halia
1 sudu kecil ketumbar
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
Air asam jawa (mengikut jenis ikan)


Cara membuatnya:

Kisar cili kering, bawang merah, bawang putih, halia, kunyit hidup, belacan dan jintan dan ketumbar. Tumis hingga garing. Tambah air asam jawa. Biar mendidih, masukkan ikan. Biar mereneh perlahan. Tambah daun kesum. Biarkan sekejap, angkat dan masukkan garam, perisa dan gula secukup rasa.

Lempeng Pisang



Bahan-bahan :

• 5 biji pisang berangan
• 1 cawan tepung gandum
• 1 biji telur
• ½ cawan kelapa parut putih
• 2 sudu besar gula
• Sedikit garam


Cara membuat:


1. Lenyek pisang hingga halus dan masukkan semua bahan.

2. Gaul sebati dan ketepikan.

3. Ambil sedikit adunan dan tuang atas kuali. Ratakan dan biar hingga garing. Balik-balikkan agar lempeng masak sekata.

4. Boleh dimakan bersama kuah kari atau sambal ikan bilis.





Cari Blog di sini

Anda Mungkin Meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...