Jika engkau memandang segalanya dari Allah, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit mu, yang membuatkan keinginan mu terhalang, serta menyusahkan hidup mu, pasti Dia akan damaikan hati mu kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu deritanya hidup mu, retaknya hati mu, tetapi itulah yang Dia mahu kerana Dia tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab dengan-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku penyabar dan bersabar dengan setiap dugaan Mu.... Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu... bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu...amin ya Rabbal-'alamin...
"Erti hidup pada memberi..."

Tuesday, April 29, 2014

Huzaifah perisik handal, teguh simpan rahsia.

Jika kamu ingin digolongkan sebagai kaum Muhajirin, kamu memang muhajir (orang yang berhijrah), jika ingin digolongkan kaum Ansar, kamu memang seorang Ansar. Pilihlah  mana yang kamu sukai.
Itulah kalimah diucapkan Rasulullah SAW kepada Huzaifah ibnul Yaman ketika pertama kali bertemu muka dengan Baginda di Makkah. Ini kerana bapanya Al-Yaman berasal dari Makkah, manakala ibunya dari Suku Asyhal di Madinah.

Rasulullah SAW menilai dalam peribadi Huzaifah ibnul Yaman terdapat tiga keistimewaan iaitu beliau seorang yang cerdas, cepat tanggap dan cermat serta teguh memegang rahsia sehingga tiada siapa dapat mengorek keterangan daripadanya.

Kesukaran berdepan muslihat jahat. Kesukaran terbesar dihadapi kaum Muslimin di Madinah ialah kehadiran kaum Yahudi munafik dan sekutunya yang selalu membuat muslihat jahat terhadap Rasulullah SAW. Baginda menaruh kepercayaan kepada Huzaifah dengan memberi nama orang munafik kepadanya.

Itulah rahsia yang tidak pernah bocor kepada sesiapa pun hingga sekarang, baik sahabat atau sesiapa saja. Huzaifah juga pernah dilantik oleh Rasulullah SAW melakukan tugas bahaya sebagai perisik ketika Perang Khandak.

Angin taufan didatangkan Allah SWT yang sangat dahsyat ketika Perang Khandak menjadi ujian untuk kedua-dua pasukan. Oleh itu, pihak yang kalah akan dulu mengeluh, manakala yang mampu menguasai  diri dapat bertahan.

Huzaifah diperintahkan ke khemah musuh untuk mendapatkan maklumat dan dengan kecerdasan, ketangkasan serta disiplin tinggi dimilikinya, tugas itu dilakukan beliau sebaiknya walaupun menyedari bahaya dihadapi.

Berdasarkan risikannya, jelas pihak musuh gagal berdepan dugaan taufan yang mencabar lalu ketua Quraisy, Abu Sufyan memerintahkan tenteranya beredar dari medan perang. Khabar itu diberitakan kepada Rasulullah SAW dan Baginda gembira mendengarnya.

Teguh simpan rahsia. Huzaifah teguh menyimpan rahsia nama orang munafik yang diamanahkan kepadanya oleh Rasulullah SAW. Ketika pemerintahan Umar al-Khattab, jika ada orang Islam meninggal dunia, Umar akan bertanya sama ada Huzaifah turut solat jenazah, Umar akan turut serta. Andai Huzaifah tidak menyertai solat jenazah, Umar juga enggan solat.

Ketika beliau sakit kuat menjelang ajalnya, Huzaifah meminta sahabat tidak menyediakan kain kapan yang mahal dan beliau berdoa: "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau tahu bahawa aku lebih suka fakir daripada kaya, aku lebih suka sederhana daripada mewah dan aku lebih suka mati daripada hidup." Selepas membaca doa itu, rohnya meninggalkan jasad.

* Ringkasan daripada cerita Pahlawan Syurga.

No comments:

Cari Blog di sini

Anda Mungkin Meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...