Jika engkau memandang segalanya dari Allah, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit mu, yang membuatkan keinginan mu terhalang, serta menyusahkan hidup mu, pasti Dia akan damaikan hati mu kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu deritanya hidup mu, retaknya hati mu, tetapi itulah yang Dia mahu kerana Dia tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab dengan-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku penyabar dan bersabar dengan setiap dugaan Mu.... Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu... bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu...amin ya Rabbal-'alamin...
"Erti hidup pada memberi..."

Thursday, November 11, 2010

Abdullah ibn al-Abbas

Abdullah ibn al-Abbas (3 S.H. - 68 H./619 M. - 687 M.), anak saudara Rasulullah s.a.w. yang dilahirkan sebelum Hijrah dan tidak pernah dicemari dengan unsur-unsur syirik. Nama penuhnya ialah Abdullah ibn al-Abbas ibn Abd al-Muttalib ibn Hisham, seorang sahabat besar yang berasal dari Makkah.

Dia berusia lapan tahun ketika berhijrah bersama-sama abangnya al-Fad ibn al-Abbas dan menemui Rasulullah s.a.w. di Madinah. Pada waktu itu, Rasulullah s.a.w. sedang bersiap sedia untuk menghadapi musuh dalam Perang Khandak.

Baginda Rasulullah s.a.w. menghampiri dan terus memeluknya. Al-Bukhariy meriwayatkan bahawa Abdullah ibn al-Abbas berkata: "Rasulullah s.a.w. telah mendakapku ke dadanya, lantas berdoa: "Ya Allah ajarkanlah dia (Abdullah) ini dengan ilmu pengetahuan. Ya Allah ajarkanlah dia dengan al-Quran". Manakala dalam Haji Widak pula, Abdullah telah menjadi pengiring Rasulullah s.a.w.

Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., dia telah diberi kepercayaan oleh para Khulafa' al-Rasyidin dan dilantik sebagai penasihat oleh Umar al-khattab r.a. Dia juga sering dipanggil untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan dan Umar sering berkata kepadanya, "Kamu berhak menyelesaikannya dan orang yang selayaknya". Dia dikenali sebagai seorang yang benar dan amanah. Khalifah Uthman pernah mewakilkannya untuk mengerjakan haji pada tahun pergolakan yang membawa kematian khalifah.

Dia amat terkenal dengan kebolehannya dalam ilmu tafsir sehingga Rasulullah s.a.w. menggelarkannya dengan panggilan "Tarjuman al-Quran". Banyak buku tafsir dihasilkan olehnya dan tafsir-tafsir itu dikumpulkan dengan usaha para ilmuwan. Ilmu pengetahuannya amat luas dan dia sentiasa mencurahkan ilmu tersebut kepada orang lain. Dia sering duduk di masjid supaya senang ditemui oleh orang ramai dan memperuntukkan satu hari untuk permasalahan fiqh, hari yang berikutnya untuk tafsir, kemudian ilmu perang, seterusnya untuk syair dan satu hari khusus untuk membincangkan peristiwa-peristiwa dalam sejarah Arab.

Dia diberi tanggungjawab oleh Khalifah Ali ibn Abi Talib mengendalikan urusan pentadbiran di Basrah selama beberapa tahun dan dia turut bersama Ali dalam Perang Jamal dan Perang Siffin.

Abdullah ibn al-Abbas terkenal dengan sifatnya yang pemurah dan amat bersimpati terhadap orang lain. Dia sering memenuhi kehendak mereka dan pernah melangsaikan hutang beberapa golongan.

Dia turut memberi bai'ah kepada Muawiyah r.a. sebagai khalifah setelah Sayidina al-Hasan ibn Ali r.a. menarik diri pada tahun al-Jama'ah (penyatuan semula).

'Abdullah telah meriwayatkan sebanyak 1660 hadith daripada Rasulullah s.a.w. dan terdapat dalam buku-buku hadith dan 95 buah hadith dimuatkan dalam dua Salih Bukhary dan Sahih Muslim. Sementara itu sebanyak 28 buah hadith lain terdapat dalam Sahih Bukhary dan manakala 49 buah hadith pula terdapat dalam Sahih Muslim.' Abdullah ibn al-Abbas ini dikenali sebagai "Hibrul Ummat" atau Dakwat Umat.

Keimanan 'Abdullah terhadap Allah amat teguh dan dia menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Ta'if. Matanya telah menjadi buta dan dia hanya keluar ke masjid sahaja. Akhirnya dia meninggal dunia pada zaman pemerintahan 'Abdullah ibn al-Zubayr dalam usia 70-an.


Sumber: Ensiklopedia Dunia 1.

No comments:

Cari Blog di sini

Anda Mungkin Meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...