Jika engkau memandang segalanya dari Allah, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit mu, yang membuatkan keinginan mu terhalang, serta menyusahkan hidup mu, pasti Dia akan damaikan hati mu kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu deritanya hidup mu, retaknya hati mu, tetapi itulah yang Dia mahu kerana Dia tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab dengan-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku penyabar dan bersabar dengan setiap dugaan Mu.... Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu... bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu...amin ya Rabbal-'alamin...
"Erti hidup pada memberi..."

Wednesday, November 10, 2010

Aisyah bint Abu Bakar

Aisyah bint Abu Bakar (8 S.H.-50 H./614-670 M.), isteri Rasulullah s.a.w dan merupakan wanita yang paling banyak meriwayatkan hadith. Dia lahir di Makkah al-Mukarramah. Rasulullah s.a.w. telah mengahwininya dan Sa'udah bint Zam'ah pada tahun yang sama tetapi Sa'udah terlebih dahulu bersama Rasulullah berbanding Aisyah kerana usianya yang masih muda. Dia bersama Rasulullah s.a.w. pada tahun ke-2 H., iaitu ketika berusia sembilan tahun. Dia berkahwin ketika masih anak dara tetapi tidak melahirkan anak untuk Rasulullah s.a.w.

Aisyah adalah isteri yang paling rapat dengan Rasulullah s.a.w. dan dia pernah menceritakan kisah perkahwinannya, katanya: "Kelebihanku berbanding dengan isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang lain melibatkan 10 perkara tetapi bukanlah aku nak berbangga: Akulah isteri baginda yang paling disayangi, bapaku pula adalah lelaki yang paling dikasihi oleh Rasulullah s.a.w., aku dikahwini ketika masih dara dan tidak ada mana-mana isteri Baginda lain sepertiku, aku dikahwini ketika berusia tujuh tahun dan bersama Baginda ketika berusia sembilan tahun, Allah S.W.T. menurunkan ayat al-Quran untuk membersihkan aku daripada fitnah "al Ifki".
Rasulullah s.a.w. pernah meminta izin daripada isteri-isteri Baginda yang lain ketika Baginda gering, sabdanya: "Sesungguhnya aku tidak kuat lagi untuk berulang-alik ke rumah kamu semua. Izinkanlah aku untuk bersama sebahagian saja dari kamu". Lalu Ummu Salamah pun menyampuk: "Kami memang telah tahu hasrat abang, yang dimaksudkan itu ialah Aisyah. Kami semua telah mengizinkannya. Satu-satunya peninggalan Baginda di dunia ialah aku yang masih muda. Baginda juga sering bersugi dengan sugiku. Baginda akhirnya menghembuskan nafas terakhir di antara bilikku dengan ambang rumahku (tengah rumah) dan dikebumikan dalam rumahku".

Aisyah adalah seorang wanita yang bijak, alim, faqih dan seorang ahli hadith. Dia banyak mengajar wanita-wanita Islam lain dan para sahabat sering bertanyakan permasalahan agama kepadanya. Aisyah pernah berkata: "Sesungguhnya ayat yang diturunkan pada zaman Rasulullah, kami sangat mengambil berat terhadap perkara halal, haram, yang diperintah dan yang dilarang serta yang tidak sepatutnya diambil peduli".

Sumber sejarah ada menyatakan bahawa dia banyak meriwayatkan hadith sama ada daripada Rasulullah s.a.w. atau yang diriwayatkan daripada Abu Bakar, Umar al-Khattab, Fatimah al-Zahra, Sa'ad ibn Abi Waqqas, Hamzah ibn 'Amru al-Aslamiy dan Jumazah bint Wahab yang berjumlah 2210 hadith. 297 hadith masing-masing dimuatkan dalam Sahih Bukhariy dan Muslim. Manakala hadith yang Muttafaq Alaiyh berjumlah 174 hadith. Terdapat sebanyak 450 hadith lagi yang tertulis hanya dalam Sahih Bukhariy dan 96 hadith dalam Sahih Muslim. Oleh kerana itu, Aisyah termasuk dalam kategori "al-Ruwwat al-Mukaththirin" atau perawi yang meriwayatkan hadith melebihi angka 1000 selain daripada Abu Hurayrah, Abdullah bin Umar, Qabil Ibnu Abbas, Jabir bin Abdullah al-Ansariy dan Abi Sa'id al-khudriy. Dalam pada itu ramai pula para sahabat yang meriwayatkan hadith daripadanya. Antara mereka ialah Umar al-Khattab dan Amru bin al-As serta para tabi'in.

Aisyah seorang yang tegas ketika berkata-kata, suka memuliakan tetamu dan banyak bersedekah. Sungguhpun demikian, dia terlalu cemburu terhadap Rasulullah s.a.w. kerana kasihnya yang amat mendalam. Lantas diturunkan ayat yang menceritakan perasaan cemburunya terhadap Habsyah bint Umar, firman Allah: "Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebaikan); dan jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi Muhammad s.a.w., maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya dan (begitu pula) Jibrail dan orang-orang mukmin yang baik, dan selain itu malaikat-malaikat adalah penolongnya pula. Jika Nabi Muhammad s.a.w. menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan. (Surah al-Tahrim 66:4-5).

Kedua-dua ayat tersebut dan juga ayat yang sebelumnya, diturunkan ke atas para isteri Rasulullah s.a.w. khususnya kepada Aisyah dan Habsyah yang sering bertelingkah lantaran cemburukan Rasulullah s.a.w. sepanjang hayat Baginda yang berulang-alik mengikut giliran ke rumah isteri-isteri Baginda.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepada Aisyah: "Saya tahu kemarahan kamu apabila kamu meradang dan keredaan kamu apabila kamu tunjukkan kegembiraan". Aisyah bertanya: "Bagaimana abang tahu semua ini? Sabda Baginda: "Apabila kamu marah, kamu akan panggilkan saya dengan kata "Wahai Muhammad", tetapi apabila kamu gembira, kamu panggil dengan panggilan "Wahai Rasulullah". Sungguhpun demikian Rasulullah s.a.w. amat menyayangi Aisyah dan pernah bersabda: " Lelaki yang sempurna (mulia peribadinya) ramai, tetapi tidak terdapat wanita yang paling baik kecuali Asiah, isteri Firaun dan Mariam bint Imran. Manakala Aisyah pula lebih baik daripada wanita-wanita lain seperti berbanding makanan lain" (Riwayat Bukhariy).

Al-Quran telah menolak angkara fitnah 'Ifki' yang dilontarkan oleh golongan munafikin dan mereka yang memusuhi Islam dan Aisyah. Walau bagaimanapun Allah S.W.T memperakui kesuciannya Aisyah melalui ayat dalam surah al-Nur. Perakuan dari langit terhadap Aisyah ini merupakan suatu penghargaan yang besar terhadap Aisyah di sisi Rasulullah s.a.w. dan seluruh umat Islam.

Aisyah, pada suatu ketika dahulu terdorong untuk menuntut bela di atas kematian Khalifah Uthman bin Affan sehingga dia menyertai Perang Jamal menentang Ali bin Abi Talib (kerana tidak berpuas hati di atas tindakan Ali). Perang ini dinamakan Perang Jamal sempena dengan unta yang ditunggangi oleh Aisyah dalam pertempuran itu. Aisyah telah dapat ditawan oleh orang Ali, tetapi lantaran memuliakannya, Ali telah membebaskan Aisyah dan dihantar pulang ke Madinah bersama satu rombongan. Apabila Ali terbunuh, Aisyah amat sedih dan dia terus mengadu sambil menangis di makam Baginda Rasulullah s.a.w. sambil berkata: "Assalamualaikum wahai Nabi yang membawa petunjuk, Assalamualaikum wahai bapa Qasim, Assalamualaikum wahai Rasulullah dan juga ke atas kedua sahabatmu. Saya amat rindukan kamu lantaran kasih mesramu, aku benar-benar teringatkanmu dan amat sayangkanmu. Dia (Ali) dibunuh, demi Allah, sesungguhnya Ali adalah orang yang engkau sayangi dan sukai. Dia (Ali) dibunuh, demi Allah, sesungguhnya engkau telah kahwinkannya dengan wanita yang terbaik. Dia dibunuh...demi Allah, sesungguhnya dialah orang yang mula-mula beriman dan setia dan aku amat sedih dan meratapi kematiannya. Andainya dapat digali tanah ini, aku akan ceritakan kepada engkau bahawa dia telah dibunuh dan mereka patut memuliakannya keranamu dan menanamnya di sisimu...".

Abdurabbih ada meriwayatkan dalam buku al-Aqd al-Farid, bahawa sewaktu Aisyah hampir menemui ajalnya, ada yang bertanya kepadanya: "Wahai Umm al-Mukminin, apakah awak mahu dikebumikan di sisi Rasulullah s.a.w.? Aisyah menjawab: "Setelah saya berbincang, saya membuat keputusan, kamu hendaklah kebumikan saya bersama-sama adik-beradik saya di Baqi".

Satu sifat yang diketahui terdapat pada diri Aisyah ialah sifat pemalu. Sewaktu dia mengunjungi makam Rasulullah s.a.w. dan di tepinya makam bapanya Abu Bakar, dia membuka tudung kepalanya sambil berkata: "Makam ini adalah makam suamiku dan makam ini bapaku". Tetapi setelah Umar dikebumikan di samping mereka berdua, setiap kali 'Aisyah mengunjungi mereka, Aisyah masuk sambil bertudung litup kepalanya kerana malukan Umar. Dialah orang yang mengizinkan Umar dikebumikan di samping suami dan bapanya sewaktu memohon kebenarannya, dia berkata: "Ya, demi kemuliaannya".

Aisyah muncul sebagai umm al-mukminin yang banyak memberi tunjuk ajar orang lain, memperincikan hadith dan sunnah, kedudukan tinggi sebagai isteri Rasulullah, seorang sahabat, seorang faqih yang terkenal serta hidup di kalangan para sahabat, tabi'in dan umat Islam yang cemerlang. Aisyah meninggal dunia di Madinah dan dikebumikan di Baqi'. Dia disembahyangkan oleh Abu Hurayrah yang mengimamkan para sahabat besar yang lain.

Sumber: Ensiklopedia Dunia 1

No comments:

Cari Blog di sini

Anda Mungkin Meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...