Jika engkau memandang segalanya dari Allah, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit mu, yang membuatkan keinginan mu terhalang, serta menyusahkan hidup mu, pasti Dia akan damaikan hati mu kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu deritanya hidup mu, retaknya hati mu, tetapi itulah yang Dia mahu kerana Dia tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab dengan-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku penyabar dan bersabar dengan setiap dugaan Mu.... Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu... bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu...amin ya Rabbal-'alamin...
"Erti hidup pada memberi..."

Saturday, December 4, 2010

Nikmat itu kadang-kadang membutakan kita

Apabila diselubungi nikmat, kita selalunya lebih buta dan kurang prihatin. Apabila kita ditimpa sesuatu musibah barulah kita tahu betapa bererti dan berharganya sesebuah perhatian itu. Tatkala kaki kita masih boleh berjalan, kita tidak sedar betapa berharganya nikmat itu sehingga suatu hari kita dapati kita tidak lagi dapat melangkah. Tatkala itu kita berharap simpati agar ada orang sudi menjenguk kita dan membantu kita, kerana kita tidak mampu melakukan sendiri.

Selagi belum sakit kita jarang mahu mengerti perasaan orang yang terpaksa berjuang dengan penyakit-penyakitnya. Kita tidak fikir ziarah ke hospital itu sesuatu yang patut dilakukan dari masa ke masa, demi memuhasabah diri. Kita tidak fikir menyumbang sedekah untuk pusat-pusat orang kurang upaya itu penting dilakukan. Selagi tidak melihat sendiri seorang ibu dengan 3 orang anaknya yang masih kecil mengais-ngais tempat pembuangan sampah, kita seperti tidak percaya dengan makna kemiskinan. Tatkala kita benar-benar susah wang ringgit, jarang kita mahu mengerti erti fakir.

Selagi kita sihat kita tidak fikir berertinya sebuah perhatian. Setelah kita sakit baru tahu betapa pentingnya kita dijenguk orang – ditanyakan keperluan-keperluan kita, ditanyakan tentang makan minum kita, mahupun ditanyakan tentang ahli keluarga kita yang terpaksa hidup sendiri itu.

Manusia yang lebih baik ialah manusia yang lebih banyak memberi manfaat kepada manusia lain. Dia hidup dalam suasana hari ini adalah lebih baik dari semalam. Belumlah seseorang itu boleh dikatakan luarbiasa bagus dan hebat sekali, jika sumbangan-sumbangannya hanya terhenti setakat untuk dirinya sendiri.

“Allah s.w.t. meningkatkan darjat orang yang beriman di antara kamu dan juga orang yang dikurniakan dengan kelebihan beberapa darjat.” (Al-Mujadalah: 11)

Seorang ahli falsafah berkata, “Anda alim lalu berjaya masuk syurga, anda tetap bersalah kerana membiarkan orang yang tidak mengerti di sekeliling anda masuk neraka.”

Apabila diselubungi nikmat kita selalunya lebih buta dan kurang prihatin. Apabila kita ditimpa sesuatu musibah barulah kita tahu betapa bererti dan berharganya sesebuah perhatian itu.

Fikir-fikirkanlah ….


No comments:

Cari Blog di sini

Anda Mungkin Meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...