Jika engkau memandang segalanya dari Allah, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit mu, yang membuatkan keinginan mu terhalang, serta menyusahkan hidup mu, pasti Dia akan damaikan hati mu kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu deritanya hidup mu, retaknya hati mu, tetapi itulah yang Dia mahu kerana Dia tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab dengan-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku penyabar dan bersabar dengan setiap dugaan Mu.... Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu... bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu...amin ya Rabbal-'alamin...
"Erti hidup pada memberi..."

Wednesday, January 26, 2011

'Abdullah bin Umar



'Abdullah bin Umar (10 S.H.-73 H./613 M.-692 M.), salah seorang daripada sahabat besar. Nama penuhnya ialah 'Abdullah ibn Umar bin al-Khattab. Walau bagaimanapun, dia tidak berkesempatan untuk berperang dalam Perang Badar dan Uhud lantaran usianya yang masih kecil. Dia mula berjuang dalam Perang Khandaq dan dia ikut serta dalam kesemua perang bersama Rasulullah s.a.w. Dia juga mempunyai hubungan yang rapat dengan Rasulullah s.a.w. berikutan kedudukan bapanya dan kakaknya Hafsah sebagai Umm al-Mukminin.

Sewaktu Uthman ibn Affan dilantik sebagai Khalifah, dia menjadi pengikut setianya. Dia diberi tanggungjawab oleh Khalifah untuk mengendalikan urusan kehakiman tetapi dia menarik diri kerana bimbang berlaku kesilapan dalam membuat keputusan. Sungguhpun demikian, dia turut memberikan fatwa selama enam tahun dengan mengadakan sesi soal jawab bersama orang ramai. Dia tidak segan berkata: "saya tidak tahu," jika terdapat permasalahan tidak diketahui hukumnya. 


Serentak dengan medan jihad yang semakin luas, penyertaannya dalam medan perjuangan juga semakin giat di mana dia turut serta dalam perang al-Qadisyah Yarmuk, Pembukaan Mesir dan Ifriqiyah (kini Tunis). Dia juga bersama-sama Khalifah Uthman ibn Affan dalam usaha menggempur golongan murtad dan cuba menyelesaikan masalah kepimpinan yang berlaku antara al-Hasan ibn Ali dengan Mu'awiyah ibn Abi Sufyan.


Dia adalah seorang yang pemurah. Dia pernah memberi sedekah dalam sebuah majlis sebanyak 30 ribu. Dia juga pernah dikurniakan oleh Khalifah Mu'awiyah sebanyak 100 000, tetapi apabila cukup haul sahaja, dia terus mengeluarkan zakat dan hanya mengambil sedikit sahaja daripada harta itu.

Dia merupakan seorang yang warak dan bertakwa serta pemalu dan tawaduk. Dia banyak membebaskan hamba-hamba terutama apabila dilihatnya mereka ini amat berminat untuk melakukan ibadat. Dia dikatakan tidak akan makan kecuali bersama dengan anak-anak yatim dan sentiasa membahagikan makanan kepada orang lain seperti apa yang dinikmatinya. 


'Abdullah ibn Umar akhirnya meninggal dunia dalam usia 80-an dan antara sahabat terakhir mati di Makkah. Dia sempat meriwayatkan hadith daripada Rasulullah sebanyak 263 hadith.


No comments:

Cari Blog di sini

Anda Mungkin Meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...