Ratu Anne
Anne (1657-1714), ratu Britain yang pertama selepas negara itu ditubuhkan apabila Scotland bersekutu dengan England dan Wales pada tahun 1707. Baginda juga ratu Ireland. Anne ialah raja memerintah terakhir yang berketurunan diraja Stuart. Baginda pernah hamil tidak kurang daripada 15 kali dan telah melahirkan lima anak. Namun tiada seorang pun anaknya hidup selepas kematiannya. Ratu Anne diganti oleh sepupunya George, seorang pembesar dari Hanover.
Anne lahir di Twickenham, dekat London. Baginda ialah puteri kedua kepada Raja James II, dan berkahwin dengan Putera George dari Denmark. Anne menaiki takhta pada tahun 1702, selepas abang iparnya, William II, meninggal dunia tanpa meninggalkan waris. Sepanjang sebahagian besar tempoh pemerintahan Anne, John Churchill, bergelar Duke of Malborough, amat berkuasa. Dia menjadi kapten-jeneral pada masa Perang Rebut Takhta Sepanyol (1701-1714). Isteri Churchill, Sarah mempengaruhi Anne selama bertahun-tahun. Kerenah campur tangan mereka sentiasa menjadikan istana kancah muslihat politik.
Walaupun kesihatan Anne tidak begitu baik, baginda tetap bergiat dalam hal ehwal awam. Baginda kerap hadir di persidangan di Dewan Pertuanan (House of Lords) dan amat mengambil berat tentang perundangan agama. Tempoh pemerintahannya kerap disebut Zaman Augustus, kerana pemimpin pada waktu ini cuba memulihkan suasana politik yang stabil serta menonjolkan seni klasik Rom zaman Maharaja Augustus, di England. Pemimpin yang terlibat termasuklah penulis Alexander Pope, Jonathan Swift, Joseph Addison, dan Richard Steele.
No comments:
Post a Comment