'Abdullah ibn Mas'ud (?-32 H./?-653 M.) ialah salah seorang daripada para sahabat besar dan berketurunan Huzaliy yang tinggal di Makkah. Dia termasuk di kalangan golongan yang terawal memeluk Islam. 'Abdullah r.a. pernah berhijrah ke Habsyah sebanyak dua kali. Di samping itu, dia turut berjuang bersama-sama Rasulullah s.a.w. dalam beberapa peperangan dan menjadi orang suruhan nabi yang setia serta sentiasa menemani Baginda sewaktu menyelesaikan urusan dan perjalanannya. Dalam Perang Badar, dia berlawan dengan Abu Jahal.
Dia adalah orang pertama yang membaca al-Quran secara terang-terangan di Makkah dan menghadapi pelbagai ancaman quraisy dan dia menganggapnya sebagai satu perjuangan di jalan Allah. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: "Ambillah al-Quran dari empat orang. Disebutnya nama 'Abdullah ibn Mas'ud sebagai orang yang pertama. Sayidina "Umar al-Khattab pernah mengumpamakannya 'Abdullah adalah sebuah bejana yang dipenuhi ilmu".
Pada zaman pemerintahan Umar ibn al-khattab, dia telah dilantik mengendalikan Baitulmal di Kufah serta menyandang jawatan kadi. Sepanjang dia memegang jawatan tersebut, dia begitu dihormati dan menjadi teladan dari segi ketakwaan dan kewarakan.
Pada zaman Uthman ibn Affan pula, dia telah kembali ke Madinah dan meninggal dunia di sana sewaktu berusia 60 tahun. Uthman sendiri yang menyembahyangkannya dan mengebumikannya di Baqi'. 'Abdullah ibn Mas'ud telah meriwayatkan sebanyak 848 hadith daripada Rasulullah s.a.w.
No comments:
Post a Comment