Jika engkau memandang segalanya dari Allah, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit mu, yang membuatkan keinginan mu terhalang, serta menyusahkan hidup mu, pasti Dia akan damaikan hati mu kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu deritanya hidup mu, retaknya hati mu, tetapi itulah yang Dia mahu kerana Dia tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab dengan-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku penyabar dan bersabar dengan setiap dugaan Mu.... Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu... bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu...amin ya Rabbal-'alamin...
"Erti hidup pada memberi..."

Wednesday, January 12, 2011

Dato' Abdullah Hussain




Lahir pada tahun 1920, Sasterawan Negara yang kelapan. Sumbangannya yang cukup penting dalam kesusasteraan Melayu ialah dalam bidang cerpen dan novel. Di samping itu, dia juga pernah menghasilkan puisi, novel dan cerpen asing.


Penghijrahan Abdullah ke Pulau Pinang dan bekerja dengan akhbar Sahabat memulakan usahanya menghasilkan karya. Karya awalnya "Binti Penghulu" diterbitkan secara bersiri di dalam akhbar Sahabat, diikuti dengan cerita "Harta dan Jodoh Menanti di England" sebanyak 38 siri. 


Abdullah mendapat pendidikan di Anglo-Chinese School, Alor Star, Kedah (1937). Dia pernah belajar di Syonan Koa Kunrenzyo (Sekolah latihan Pegawai-pegawai Tinggi) di Singapura ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1943. Sebelum itu, dia bertugas dengan akhbar Sahabat di Pulau Pinang (1939), dan kemudiannya menjadi pembantu pengarang akhbar Saudara pada tahun 1940. 

Semasa di Aceh, Abdullah mengasaskan akhbar Acheh Shimbun. Dia turut sama dalam perjuangan kemerdekaan Indonesia selepas Jepun menyerah kalah dan Belanda kembali ke Indonesia. Pada tahun 1947, Abdullah bertugas sebagai Kepala Polisi Pulau Sabang sebelum kembali ke Pulau Pinang pada tahun 1948 dan bertugas sebagai Pengurus Cardova Trading Company, dan kemudiannya Pengurus Pacific Trading Company di Phuket, Thailand, sehingga tahun 1949.

Pada tahun 1950, Abdullah menjadi wartawan bebas dan mengendalikan majalah Puspa di Jakarta, Indonesia. Tahun berikutnya dia berpindah ke Singapura untuk menjadi wartawan akhbar Merdeka, Berita Indonesia, dan Majalah Merdeka. Pada tahun 1952, dia menjadi Pengurus Empiric Film Company dan kemudiannya bertugas sebagai pengarang majalah Bintang (1955) dan majalah Filem serta Mingguan Warta Masyarakat pada tahun 1957. Setahun kemudian dia bertugas pula sebagai editor akhbar Semenanjung, dan pada tahun 1960 dia dilantik menjadi Pengurus Penerbitan P. Ramlee dan pengarang majalah Gelanggang Filem.

Pada bulan Januari 1961, Abdullah berhijrah ke Kuala Lumpur dan menjadi pembantu pengarang kanan di Oxford University Press (1961-1964) dan kemudiannya pengarang majalah Angkatan Baru. Mulai tahun 1968, Abdullah bertugas sebagai pegawai penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka sehingga tahun 1978. Disini Abdullah turut menjadi salah seorang anggota sidang pengarang majalah-majalah Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, dan Dewan Sastera. selepas bersara daripada jawatannya di Dewan Bahasa dan Pustaka, Abdullah dilantik menjadi Ahli Cipta di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (1979-1981) sebelum berhijrah ke Brunei Darussalam untuk berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei pada tahun 1982. Ketika di Brunei, Abdullah menjadi Ketua Bahagian Penerbitan di samping mengendalikan majalah Bahana dan Mekar sehinggalah dia kembali semula ke Kuala lumpur pada tahun 1992.


Abdullah ialah anggota ASAS 50 dan salah seorang pengasas Persatuan Wartawan Melayu Singapura. Selain itu, Abdullah juga ahli PENA dan GAPENA di samping menjadi pengasas Persatuan Penterjemah Malaysia. Dia juga merupakan penterjemah yang aktif.


Sumbangan Abdullah dalam kesusasteraan Melayu amat besar. Antologi puisinya, Menanti Kekasih yang terbit pada tahun 1948, merupakan antologi puisi Melayu terawal diterbitkan dalam tulisan Rumi. Kumpulan cerpennya ialah Kota ke Kota (1977), Sebuah Pekan Bernama Semporna (1982) dan Cahaya Langit (1987). Novel-novelnya pula seperti Terjebak (1965), Interlok (1971) dan Imam (1995) merupakan rujukan yang penting dalam perkembangan novel di Malaysia.

Selain cerpen dan novel, Abdullah juga menghasilkan autobiografi yang berjudul Sebuah Perjalanan (1984). Dalam bidang kebahasaan, Abdullah menghasilkan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu (1965), sebuah kamus peribahasa yang masih menjadi rujukan penting di Nusantara sehingga kini.
Abdullah menerima S.E.A. Write Award di Bangkok pada tahun 1981. Dia menerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 1996. Abdullah juga dianugerahkan Darjah Dato' Setia Diraja Kedah (D.S.D.K.) pada tahun yang sama yang membawa gelaran Dato'.

Abdullah Hussain lahir pada 25 Mac 1920 di Sungai Limau, Yan, Kedah.




 

No comments:

Cari Blog di sini

Anda Mungkin Meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...