Jika engkau memandang segalanya dari Allah, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit mu, yang membuatkan keinginan mu terhalang, serta menyusahkan hidup mu, pasti Dia akan damaikan hati mu kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu deritanya hidup mu, retaknya hati mu, tetapi itulah yang Dia mahu kerana Dia tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab dengan-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku penyabar dan bersabar dengan setiap dugaan Mu.... Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu... bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu...amin ya Rabbal-'alamin...
"Erti hidup pada memberi..."

Monday, January 24, 2011

'Abdullah ibn al-Zubayr



'Abdullah ibn al-Zubayr (? - 73 H,/? - 692 M.) merupakan sahabat yang mulia dan orang yang pertama lahir di Madinah selepas hijrah. Nama penuhnya ialah 'Abdullah ibn al-Zubayr ibn al-'Awwam ibn Khuwailid ibn 'Abd al-'Uzza ibn Qusay ibn Kilab ibn Murrah al-Quraisyi al-Asadi. Bapanya al-Zubayr ibn al-'Awwam, adalah salah seorang dari kumpulan yang dijamin syurga dan pembantu Rasulullah s.a.w. Ibunya Asma', anak perempuan Abu Bakar al-Siddiq. Neneknya ialah Safiyyah, ibu saudara Rasulullah s.a.w. dan ibu saudaranya ialah 'Aisyah, Umm al-Mu'minin. Manakala nenek saudaranya ialah Khadijah bint Khuwaylid, Umm al-Mu'minin yang pertama.

'Abdullah ibn al-Zubayr membesar dengan penuh kesempurnaan dan minda yang terbuka. Dia berada dalam rumah tangga yang dibina dengan roh keimanan. Dia adalah salah seorang dari kalangan "al-Abadalah" atau golongan yang bernama 'Abdullah. Mereka terdiri daripada 'Abdullah ibn Umar, 'Abdullah ibn 'Amru ibn al-'As, 'Abdullah ibn 'Abbas dan 'Abdullah ibn al-Zubayr r.a.

'Abdullah ibn al-Zubayr ialah seorang yang amat berani dan menghormati orang yang lebih tua. Dia tidak takut melainkan kepada Allah S.W.T. Dia mula berjihad dengan menyertai bapanya dalam Perang Yarmuk. Dia juga turut serta menyambut Khalifah Umar ibn al-khattab di al-Jabiyah, Sham ketika khalifah menghadiri satu perundingan bersama panglima-panglima perang untuk membuka Baitulmaqdis.

Antara pertempuran lain yang telah disertai oleh 'Abdullah al-Zubayr selepas Perang Yarmuk ialah ketika pembukaan Ifriqiyyah (kini Tunisia) di bawah pimpinan 'Abdullah ibn Abu al-Sarah. Dia turut diberi penghormatan mengetuai rombongan membawa berita kemenangan ke atas kaum Barbar kepada Khalifah Uthman. Khalifah Uthman telah menyambutnya dengan penuh meriah dan dia diberi penghargaan untuk berucap di hadapannya dan menceritakan tentang ketangkasan dan keberanian umat Islam dalam perjuangan mereka di negara tersebut. Dia juga telah memberi sumbangan besar dengan mempertahankan Khalifah Uthman dan beberapa orang anak para sahabat yang bersamanya ketika rumah Khalifah dikepung oleh musuh. 'Abdullah ibn al-Zubayr juga menyertai Perang Jamal bersama ibu saudaranya 'Aisyah r.a. sehingga dia tercedera dalam perang tersebut. 

'Abdullah ibn al-Zubayr adalah seorang yang alim dan bertakwa. Dia enggan memberi bai'ah terhadap Khalifah Yazid ibn Mu'awiyah. Dia sendiri dilantik menjadi khalifah pada tahun 44 H. dan menguasai Hijaz, Yaman, Iraq, Mesir, Khurasan, dan sebahagian dari Syam. Dia menjadikan Madinah sebagai pusat pemerintahannya yang berkekalan selama sembilan tahun.

Ketika Khalifah 'Abd al-Malik ibn Marwan menghantar pasukan tenteranya yang dipimpin oleh al-Hajjaj ibn Yusuf al-Thaqafiy untuk menghalang penentangannya, 'Abdullah ibn al-Zubayr berundur ke Makkah. Dia memasuki kawasan tanah haram sebagai tempat perlindungan, tetapi dia telah diserang sehingga gugur syahid. 

'Abdullah ibn al-Zubayr ini, bukanlah seorang yang berketokohan dalam bidang politik, tetapi dia ialah seorang pejuang, ahli ibadat dan penegak kebenaran. Dia amat tekun mendirikan solat pada waktu malam dan berpuasa pada siang hari sehingga dia digelar "Merpati Masjid" (Hamam al-Masjid). Dia hanya meriwayatkan sebanyak 33 hadith daripada Rasulullah s.a.w.



Sumber : Ensiklopedia dunia 1






No comments:

Cari Blog di sini

Anda Mungkin Meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...